Wednesday, 26 October 2011

ARAB: SEBELUM SENTUHAN KEIMANAN


Pemilihan tanah Arab dan bangsa Arab sebagai permulaan bagi Risalah Deen sudah tentu mempunyai pelbagai hikmah dan ibrah, kerana sudah tentu Allah memilih yang terbaik untuk menurunkan wahyuNya bagi semesta alam agar manusia sentiasa tunduk dan patuh hanya pada Allah SWT. Maka perlu difahami pemilihan tempat dan bangsa bukan bererti Deen ini hanya untuk bangsa tersebut dan tempat yang diturunkan wahyu sahaja, mungkin betul untuk nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW, tetapi  pada penurunan syariat  ketika zaman Rasulullah SAW, ia adalah sesuai untuk semua bangsa, semua tempat dan semua zaman sehingga akhir kiamat atau dalam bahasa mudahnya bersifat universal. 

Contoh hikmah pemilihan tanah arab dan bangsa Arab sebagai tempat bermula bagi dakwah Rasulullah SAW ialah kedudukan tanah Arab yang begitu strategik kerana terletak di tengah-tengah Empayar  Dunia. Di utaranya terdapat Empayar Romani, di sebelah baratnya Empayar  Firaun Mesir dan ditimurnya pula empayar Parsi, Dimensti Cina dan Kerajaan-kerajan besar India. Tanah dan bangsanya diibaratkan oleh Sheikh Dr. Ramadhan AlButi dalam bukunya Fikh AsSirah AnNabawiyah sebagai bahan mentah yang belum  pernah disentuh oleh mana-mana tamadun mahupun empayar-empayar besar. Antara hikmah lain pemilihan Tanah Arab boleh dirujuk dalam buku karangan Sheikh Dr. Mustafa AsSibaie yang berjudul AsSirah AnNabawiyah. Betapa hebat dan begitu teperinci perancangan Allah untuk memastikan Deen ini terus-menerus berjalan di atas muka bumi ini.

Berbalik kepada persoalan tentang keadaan masyarakat Arab sebelum diutuskan Rasulullah SAW.  Berdasarkan buku AlMadkhal LiDirasah AsSyariah AlIslamiyah (Pengenalan untuk Pembelajaran Syariah islamiyah) karangan Sheikh Dr. Abd. Karim Zaidan, beliau telah membahagikan keadaan Arab sebelum Islam kepada dua sudut iaitu Kemasyarakatan dan Perundangan.

Keadaan Arab Jahiliyah Dari Aspek Kemasyarakatan

Secara umumnya sistem kemasyarakatan  dibina atas dasar kabilah atau perkauman yang kecil. Dan kabilah-kabilah tersebut bukanlah suatu daulah mahupun satu sistem politik tetapi suatu kelompok yang dibina atas nasab atau keturunan yang sama. Kesan daripada sistem Kabilah ini, kabilah yang kuat akan terus sahaja menindas kabilah yang lemah dan kabilah yang lemah terus menjadi lebih lemah. Kaum Quraisy merupakan kabilah yang dominan di Tanah Arab khususnya Makkah, maka mereka menjadi kabilah yang memegang tampok pemerintahan kota Makkah dan berperanan mengumpulkan ketua-ketua kabilah yang lain untuk berbincang perihal kabilah masing-masing di Dar AnNadwah[1].

Peperangan yang tercetus antara kabilah tidak terkira banyaknya meskipun peperangan itu hanya disebabkan perebutan seekor unta generasi terdahulu. Namun begitu,  terdapat bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang sesama kabilah yang dinamakan sebagai AlAshur AlHaram (Bulan-bulan Haram) antaranya bulan DzulQaidah, DzulHijjah, Muharam dan Rejab.[2]  

Kebiasaannya, peperangan hanya melibatkan golongan lelaki sahaja kerana lelaki memiliki kekuatan. Akibat daripada banyak peperangan antara kabilah menyebabkan golongan wanita dipandang rendah kerana tidak terlibat dalam peperangan. Wanita diharamkan hak-hak mereka sehingga tiada hak dalam pewarisan harta malah terdapat beberapa kabilah merasa aib bila melahirkan anak perempuan lalu membunuhnya. 

Anak-anak perempuan dianggap sebagai penyebab kemiskinan kabilah dan kabilah akan menjadi lemah disebabkan tiada perwira-perwira gagah dari kabilah mereka. Sikap mereka ini telah dipersoalkan oleh Allah s.w.t. dalam AlQuran :

Dan apabila bayi-bayi permpuan ditanam hidup-hidup ditanya (8) Disebabkan apa mereka dibunuh(9)[3]

Walaupun pada diri mereka ada sifat buruk dan akhlak yang bertentangan dengan Islam, tetapi ada beberapa sifat yang baik dalam diri mereka, sebagai contoh bersikap mulia, berani, setia,pemaaf, menghormati tetamu dan memiliki maruah diri.[4] Sifat-sifat mulia tersebut tidak akan selaras dengan Islam sehinggalah sifat-sifat tersebut diurus oleh Islam.

Keadaan Arab Dari Aspek Perundangan

Perundangan merupakan antara perkara terpenting dalam sesebuah masyarakat. Jika tiada perundangan sudah tentu masyarakat akan porak peranda. Masyakarakat Arab juga mempunyai perundangan bagi memastikan keamanan antara kabilah-kabilah dan menjaga hak-hak kemasyarakatan. Kebanyakan perundangan mereka adalah undang-undang tradisi dari nenek moyang mereka. Jika terdapat masalah baru, masalah itu akan dirujuk kepada Syeikh Kabilah yang memain peranan sebagai ketua kabilah ataupun ahli sihir (dukun)[5].
Terdapat perundangan keluarga yang selari dengan Islam dan bertentangan dengan Islam. Antara yang bertentangan dengan Islam adalah seperti  Nikah AsSyighar[6], Nikah AlMaqti[7], Zihar[8] serta bernikah dengan seorang perempuan dan adiknya dalam satu masa . Zihar pada ketika itu telah dikira sebagai jatuh talak, berbeza dengan selepas kedatangan Islam, zihar tidak dikira sebagai jatuh talak.  

 Berdasarkan perkara di atas dapat difahami bahawa hak wanita pada waktu itu amat lemah dan hanya berfungsi sebagai pelempias nafsu lelaki semata-mata, lalu Islam datang mengangkat martabat wanita  ke tempat yang tinggi. 

Begitu juga dengan perundangan muamalat, ada sebahagiannya masih kekal diredhai oleh Islam dan sebahagian yang lain diharamkan oleh Islam. Sebagai contoh sebahgian yang dilarang dan diharamkan oleh Allah SWT iaitu riba (bayaran hutang secara bunga), jual beli najis dan jual beli hutang. 



Berdasarkan  bukti-bukti yang dilihat tentang keadaan masyarakat arab, seolah-olahnya dapat dilihat di sini bahawa masyarakat Arab adalah masyarakat  yang jahil dan jauh ketinggalan dalam sejarah tamadun manusia. Pengutusan  Rasulullah SAW sebagai penutup kepada semua nabi telah membawa sinar baru buat manusia untuk berubah daripada kegelapan menuju kepada cahaya ilahi. Lalu mereka berubah secara total dari segala sudut  seperti kata seorang sahabat rasulullah SAW iaitu Ja’far Tayyar Bin Abi Tolib RA kepada raja Najasyi: 

Wahai raja, kami ini dahulu adalah satu kaum yang jahil, kami menyembah berhala, memakan bangkai, suka mendatangkan kejahatan, dan kami suka memutuskan hubungan silaturrahim,yang kuat menindas yang lemah, sehinggalah Allah mengutuskan seorang rasul dalam kalangan kami, beliau memang terkenal dengan kejujurannya, amanahnya, dan suci pekertinya, dan utusan Allah itu telah mengajak kami agar bercakap benar, bersifat dengan sifat terpuji, jujur, ikhlas dan beramanah, beliau juga menyeru kami untuk menyembah Allah yang Esa dan meninggalkan penyembahan berhala, menghormati jiran tetangga dan meninggalkan peperangan yang sudah berlarutan, semua seruannya kami terima dengan baik, kami beriman sepenuhnya dengan apa yang dibawanya tetapi kaum kami termasuk dengan dua utusan ini menindas dan menyeksa kami agar kami berpaling semula kepada agama penyembahan berhala, setelah kami tidak tertahan menanggung penyeksaan mereka kami keluar dari Negara kami dan Negara tuan yang kami pilih agar kami dapat berlindung jauh dari penyiksaan dan kezaliman[9].”
  
AllahuA’lam.




[1]AlMadkhal Ila Dirasat AlFiqh AlIslami oleh AsSheikh Dr. Abdullah Muhammad Soleh M/S 5

[2]Tarikh AlArab Qabla AlIslam (Sejarah Arab sebelum Islam) oleh Dr. Jawad Ali Jilid 5 M/S 232

[3]Surah AtTakwir:8-9

[4]Hayatu Muhammad SAW oleh Dr. Muhammad Hussain Haikal M/S 12


[5]AlUsrah fi AsSyara’ AlIslami oleh AsSheikh Dr. Umar Farukh M/S 37


[6] Nikah Syighar: pernikahan yang dibina atas janji atau kesepakatan pertukaran dengan menjadikan dua orang perempuan sebagai mahar masing-masing Contoh lafaz Ucapan;Saya nikahkan anda dengan dengan anak atau saudara perempuan saya, dengan syarat anda menikahkan saya dengan anak atau saudara perempuan anda


[7] Nikah AlMaqti: Perkahwinan seorang anak dengan isteri ayahnya selepas kematian ayahnya dan isterinya itu bukan ibunya.


[8] Zihar: seorang lelaki menyamakan isterinya dengan salah seorang mahramnya seperti ibu atau adik-beradik perempuannya daripada sudut haram mengahwininya.

[9]Fikh AsSirah AnNabawiyah oleh AsSheikh Dr. Ramadhan AlButi M/S 91


 

No comments:

Post a Comment