Monday, 10 October 2011

قواعد العقائد


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sedikit perkongsian ilmu.

Allah telah mencipta manusia dengan mempunyai akal. Secara fitrahnya manusia dicipta untuk mempunyai tuhan atau pencipta dan kemudian mempercayai kewujudannya sama ada dia beriktikad bahawa tuhannya adalah Allah ataupun benda-benda yang lain. Ilmu yang ingin saya kongsi ialah قواعد العقائد yang bermaksud kaedah (konsep) beriktikad. Kaedah ini menerangkan tentang konsep akal serta menunjukkan cara-cara akal yang sihat boleh menerima kewujudan Allah سبحانه وتعالى sebagai tuhan dan kewujudan perkara-perkara ghaib.




1. Konsep pertama : Seseorang tidak boleh meragui kewujudan sesuatu benda/perkara yang dapat dirasa melalui pancainderanya.

Sebagai contoh, seorang lelaki yang sedang berada di sebuah taman rekreasi tidak boleh meragui kewujudan sebuah pokok yang telah dilihatnya melalui kedua-dua belah matanya.

pokok



2. Konsep kedua : Seseorang tidak boleh meragui perkhabaran tentang suatu perkara/benda yang dirasakan melalui penglihatan penyampai khabar tersebut yang diyakini akan kejujuran  yang ada pada penyampai tersebut. 

Sebagai contoh, bolehkah kita mempertikaikan kewujudan (kehidupan) Raja Shah Jahan (raja yang membina Taj Mahal di India sewaktu Empayar Mughal) yang hidup pada empat kurun  lepas? Adakah kita perlu melihatnya terlebih dahulu untuk mempercayai kewujudannya? Semestinya kita perlu mempercayai kewujudannya.



3. Konsep ketiga : Seseorang tidak boleh mengingkari kewujudan sesuatu yang tidak boleh dirasakan melalui pancainderanya. 

~gambar yang tidak seberapa~


Sebagai contoh, pada zaman dahulu, terdapat seorang pengintip dari negeri A datang ke negeri B. Dia ditugaskan untuk mengintip tentang keadaan dan gambaran tentang negeri B. Tetapi, dia tidak pernah datang ke negeri B walau sekalipun dalam hidupnya. Ketika menghampiri negeri B, dia ditangkap oleh penjaga sempadan negeri B. Dia ditangkap dan ditutup matanya sehingga dibuka semula di dalam penjara. Penjaranya terletak di puncak sebuah kubu dan hanya terdapat sebuah tingkap sahaja. Daripada tingkap tersebut dia hanya mampu melihat dua buah rumah, sebatang sungai dan empat batang pokok sahaja. Persoalannya disini, adakah objek yang dilihat melalui matanya cukup untuk memberikan gambaran tentang negeri B? Semestinya tidak.

Begitulah akal manusia. Analoginya mudah; kubu tersebut menjadi badan manusia, manakala tingkap pula menjadi mata dan penjara menjadi akal manusia yang terbatas.

soalan saya :

ADAKAH PANCAINDERA MANUSIA CUKUP SEMPURNA?



4. Konsep keempat : Manusia tidak akan boleh berkhayal/berimaginasi tentang sesuatu yang tidak pernah dirasai oleh pancainderanya. imaginasi manusia terbahagi kepada dua jenis. 

Pertama, khayal murji' (خيال مرجع). khayal murji' ialah sejenis imaginasi manusia tentang perkara yang pernah pernah dilihatnya melalui mata ataupun pernah dirasa melalui pancaindera lain. Sebagai contoh, seseorang yang pernah melakukan ibadah umrah pada lima tahun lepas mampu berimaginasi tentang keadaan, gambaran dan suasana tentang tempat tersebut sebagaimana yang pernah dilihat dan dirasanya dahulu.

Kedua, khayal mubdi' (خيال مبدع). khayal mubdi' pula ialah sejenis imaginasi yang direka akal manusia dengan berpaksikan sesuatu yang pernah dirasakan melalui pancaindera. Sebagai contoh, pelukis kartun jepun yang terkenal, Akira Toriyama mencipta (melukis) watak Cell berdasarkan sesuatu yang pernah dilihatnya iaitu lipas. Kemudian, ciri-ciri yang ada pada lipas tersebut digabungkan dengan sifat fizikal manusia dan seterusnya diubah-ubah sehingga dirasakan sempurna.

Cell



soalan saya :

MAMPUKAH MANUSIA BERIMAGINASI TENTANG RUPA ALLAH?



5. Konsep kelima : Akal manusia tidak boleh berfungsi/berimaginasi tanpa berlandaskan kepada masa dan/atau tempat.

Sebagai contoh, cuba anda bayangkan sebuah padang pasir yang besar dan kecil dalam masa, waktu dan detik yang sama. Semestinya tidak boleh.


soalan saya :

MAMPUKAH MANUSIA BERIMAGINASI TENTANG KEADAAN ALLAH ;
YANG MAHA BESAR,
DAN PADA MASA YANG SAMA 
SANGAT MENGETAHUI TENTANG SEKECIL-KECIL PERKARA
YANG TIDAK DIKETAHUI MANUSIA?



6. Konsep keenam : Kepercayaan tentang kewujudan tuhan adalah fitrah yang wujud dalam diri setiap makhluk termasuk manusia.

Majalah Reader's Digest pernah menyiarkan tentang suatu peristiwa yang pernah berlaku pada zaman perang dunia pertama (kalau tidak silap) tentang kaedah keenam ini. Kisah ini berlaku terhadap seorang tentera jerman. Dia merupakan seorang atheis dan tidak pernah mengenali apa-apa jenis agama sepanjang kehidupannya. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak pernah menyebut tentang agama. Malah, dia juga belajar di sekolah yang sedemikian. 

Negara Jerman merupakan negara pertama dalam sejarah peperangan yang melakukan strategi menghantar tentera dari udara melalui payung udara. Ketika tiba hari peperangan tersebut, dia merupakan orang pertama yang diarahkan untuk terjun. 



Dalam perasaan risau dan takut, dia terjun dari ketinggian yang melebihi 1000 kaki. Ketika terjun, sebelum membuka payung terjunnya, dia tersebut perkataan "Ya Allah" dalam perasaan gundah gulana tersebut secara tidak sengaja. Akhirnya dia berjaya mendarat dengan selamat tetapi dia terdiam selama beberapa minit. Dia bermonolog kepada dirinya "mengapa aku menyebut perkataan itu? Bagaimana aku boleh menyebut sebegitu". Setelah beberapa tahun, dia telah mempercayai tentang kewujudan tuhan rentetan daripada peristiwa tersebut. Tetapi sayangnya, agama yang dipilihnya ialah Kristian.



7. Konsep ketujuh : Perasaan manusia bahawa alam yang didiaminya sekarang ini tidak kekal, serta kepercayaan kewujudan alam yang lain selepas kematian yang tidak diketahuinya merupakan naluri yang wujud dalam diri setiap insan.

Sebagai contoh keadaan, apabila seorang lelaki yang hidup senang lenang bersama-sama isterinya ditimpa musibah seperti  tanah runtuh yang meranapkan rumahnya serta mengorbankan nyawa isterinya. Dalam beberapa ketika, dia akan berfikir bahawa perkara yang dimilikinya sebentar tadi tidak kekal selama-lamanya. akan terlintas di dalam fikirannya tentang beberapa persoalan, "dimanakah isteriku berada selepas ini? Mustahil dia meninggal dunia begitu sahaja."

soalan saya :

ADAKAH LOGIK APABILA KEHIDUPAN MANUSIA TAMAT
BEGITU SAHAJA TANPA BERLAKU SEBARANG 
KEADAAN YANG BERIKUTNYA SEOLAH-OLAH 
KEHIDUPAN MANUSIA DI DUNIA SIA-SIA & TIDAK 
MENDATANGKAN SEBARANG FAEDAH?



8. Konsep kelapan : Kepercayaan manusia terhadap kewujudan Allah menjurus kepada kepercayaan tentang kewujudan kehidupan di alam akhirat dan balasan bagi setiap perbuatan yang dilakukan manusia ketika hidup di dunia. 

Konsep kelapan mempunyai sedikit-sebanyak perkaitan dengan konsep yang ketujuh. Bezanya ialah, konsep ketujuh  berlaku kepada setiap manusia tetapi konsep kelapan hanya berlaku kepada individu yang mempercayai kewujudan allah. hal ini demikian kerana, jika tiada kehidupan dunia akhirat, maka sia-sialah penciptaan dunia ini. Malah, mereka yang mempercayai kewujudan Allah akan meyakini konsep balasan terhadap setiap amalan; amalan yang baik akan dibalas dengan syurga manakala amalan yang jahat akan dibalas dengan neraka.


والله تعالى أعلم

No comments:

Post a Comment