Wednesday, 19 October 2011

Langit Pernah Mendung

Langit Mana tak pernah mendung ~Picture by Masha1989 of DeviantART.com

Ketika dalam suatu fatrah, aku pernah terasa kosong; seperti buah yang luarnya tampak ranum, tetapi di dalamnya tiada isi langsung. Rindu pada sesuatu yang sememangnya takkan berulang kembali; itulah puncanya hati fikiran terasa kosong. Tetapi Rindu takkan pernah bersalah! Cuma yang bersalahnya ialah hati yang mati; kering kontang. Dahulunya pernah subur. Selalu sahaja baja ditabur supaya kelak membuahkan bakti dan jasa. Tetapi hari ini impian itu semakin kabur; dengan hadirnya pelbagai ancaman; luaran dan dalaman, semuanya atas desakan syaitan. Lama-kelamaan impian itu terkubur.

Bagai rusa masuk kampung, yang sudah biasa dengan suasana belantara; semak samun sebagai selimut pandangan musuh, juga denai-denai yang menjadi penghubung. Tetapi kini dalam kampung tiada selimut, manakala jalan pula menjadi penghubung kepada musuh. Diri ini terasa janggal dengan dunia baru yang terlalu bebas tanpa penjagaan waktu, tanpa pengawasan guru, dan seringkali bergerak tanpa rasa segan silu.

Sehingga tiba suatu hari, pintu hati yang terkunci dibuka dengan suatu persoalan yang tiba-tiba datang ke mari; “sampai bila mahu begini?”. Hati mula berdiam diri. Penat. Setelah hari-hari Rindu cuba melelapkan mata hati. Katanya mahu merehatkan hati, dan memberikannya rasa bahagia yang akan senantiasa terasa daripada memori dahulu. Agar hati selalu gembira selama-lamanya tanpa perlu memikirkan apa-apa perkara! Tetapi ini tidak benar, kerana tiada suatu pun yang kekal di perhentian ini! Rindu juga takkan pernah bersalah! Hakikatnya inilah panahan syaitan; supaya manusia leka, tidak berbuat apa-apa, maka dirinya takkan terkehadapan, bahkan menjadi batuan.

Akhirnya hati cuba memerhati; alam sekeliling menjadi tumpuan. Gerak-geri kehidupan menjadi pandangan. Ramai insan, pelbagai haiwan, bermacam-macam ragam kehidupan; cuba dijadikan hikmah dan teladan. Dengan harapan, terhasil suatu pemikiran; supaya hati nan subur semula dan sentiasa  bergerak selari dengan kehendak tuhan.

Ingat, Rindu takkan pernah bersalah!


Sebuah kereta. Membawa manusia dari satu tempat ke tempat yang lain. Rindu dianggap kereta. Hati pula dianggap manusia. Suatu persoalan; adakah hakikatnya kereta secara zatnya yang membawa manusia ke tempat lain? “Semestinya tidak!” menjadi jawapan kerana kereta selama-lamanya tiada dapat berfikir. Begitu jugalah halnya bahawa sesungguhnya rindu tidak mampu memandu manusia kehadapan secara zatnya. Bahkan manusialah yang perlu mengawalnya untuk terus maju kehadapan. Kerana itulah Rindu takkan pernah bersalah! Sebenarnya hati yang tidak mampu mengawal rindulah yang bersalah. Hati yang lemah, tiada sabar dan tabah dalam mengharung ribut musibah.

Rindu dengan zaman persekolahan dan kenangannya yang pernah menjadi makanan harian fikiran dalam fatrah selepas SPM; itulah buaian syaitan yang pernah menjadi permainan hati, agar diri terus diam, tanpa kehadapan; agar amalan terus luntur, lama-lama terkubur; agar iman terus jatuh, lama-kelamaan lumpuh; agar hati dan lidah tiada lagi dibasahi, akhirnya cahaya al-quran pergi dan hati tidak lagi diterangi.

Suatu kesimpulan; Allah menjadikan perasaan supaya manusia dapat terus kehadapan melalui pengawalan terhadapnya. Manakala manusia pula hanya akan menjadi batuan dan ketinggalan jika perasaan itu terus dilayan tanpa pengawasan akal fikiran yang bergerak atas landasan wahyu tuhan. Semoga dengan artikel ini langit akan sentiasa cerah!


يا رب لو لا أنت ما اهتدينا
ولا تصدّقنا ولا صلّينا
فأنزلن سكينة علينا
وثبّت الأقدام إن لاقينا
(دعاء الصحابة في غزوة الأحزاب)


اللهم ارزقنا قناعة
وأدمنا بصلوات الجماعة
واشفع لنا بشفاعة خير البرّية
واهدنا صراطك المستقيم حتى يوم القيامة


1 comment: