Wednesday, 12 October 2011

Manhaj-manhaj dalam AQIDAH


Terdapat dua madrasah atau manhaj dalam aqidah, pertamanya MADRASAH NASSIAH (مدرسة نصية) atau golongan hanabilah, ia juga terkenal dengan panggilan salaf. Manhaj kedua ialah MADRASAH AQLIAH (مدرسة عقلية) atau golongan mutakalimin, ia juga  terkenal dengan panggilan khalaf.

Kumpulan-kumpulan Aqidah AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Kumupulan Pertama: Hanabilah

Manhaj ini  mula dinisbahkan sewaktu zaman Imam Ahmad Bin Hanbal RA (Mazhab Hanbali). Nama sebenar beliau ialah Abu Abdillah Bin Mohammad Bin Hanbal AsSyaibani RA. Beliau dilahirkan pada tahun 64 H dan wafat pada 241 H. Pada waktu tersebut umat Islam telah mula berpecah dari sudut pemahaman mereka tentang ilmu aqidah. Imam Ahmad Hanbal pernah dipenjara kerana beliau dipaksa untuk mengakui bahawa AlQuran itu merupakan makhluk tetapi beliau tetap teguh dengan pendiriannya.

Pengikut-pengikut beliau dikenali sebagai Hanabilah. Golongan ini kurang bersetuju dengan penggunaan akal dalam mengitsbatkan (memutuskan)  sesuatu masalah aqidah, mereka lebih berpegang kepada dengan AlQuran dan Sunnah AsSohihah. Antara manhaj mereka berkenaan dengan ayat-ayat mutasyabihat adalah lebih pada tafwidh (serah: menyerah makna dan kaifiyatnya kepada Allah SWT) dan terdapat juga manhaj lain yang cenderung untuk menggunakan takwil dalam permasalahan ini.

Sebagai contoh, pada ayat
يد الله فوق أيديهم
mereka lebih cenderung untuk mengitsbatkan يد  sebagai tangan yang layak bagi Allah SWT dan tidak sama sekali menyerupai makhluk.

Kumpulan Kedua: Asya'irah

Manhaj AlAsya'irah diasaskan oleh Imam Abu AlHassan Ali Bin Ismail AlAsya'iri RA , datuknya merupakan sahabat Rasulullah SAW iaitu Abdullah Abu Musa AlAsya'iri. Perbezaan zaman antara Abu Hassan dengan datuknya Abu Musa ialah seramai 4 orang ayah. Beliau dilahirkan pada 260H di Basrah dan wafat pada 324H dan beliau bermazhab syafie. Beliau pernah berguru dengan seorang syeikh muktazilah iaitu Abu Ali AlJubbai'e dalam mempelajari ilmu aqidah. kemudian beliau berselisih pendapat dengan gurunya lalu mengisytiharkan keluar dari muktazilah. Selepas dari peristiwa tersebut beliau mengasaskan manhaj ini.

Antara manhajnya dalam masalah mentafsir ayat-ayat mutasyabihat ialah dengan mentakwil (mencari makna lain yang sesuai dengan sesuatu lafaz berdasarkan kaedah bahasa arab). Kaedah ini dipakai oleh sebahagian pengikutnya kerana ada juga pengikut dalam kalangan mazhab atau manhaj ini tidak mentakwil ayat-ayat mutasyabihat.
Contoh ayat di atas, mereka mentakwil kalimah يد kepada Qudrat. Kaedah ini terhasil berdasarkan ilmu bahasa arab dan qawaidnya (kaedahnya). Tujuan mereka mentakwil ayat-ayat mutasyabihat ini untuk mensucikan Allah SWT dari persamaan  dengan makhluk.

Kumpulan Ketiga: Maturudiyah

Manhaj ini diasaskan oleh Imam Abu Mansur Muhammad Bin Muhammad Bin Mahmud AlMaturidi RA. Beliau wafat pada 333H selepas wafatnya Abu Hassan dan belaiu bermazhab hanafi.  Manhaj ini disusun bagi memantapkan lagi manhaj yang telah dibina oleh Imam Abu Hassan AlAsya'iri.

Antara manhajnya dalam masalah ayat-ayat mutasyabihat sama seperti manhaj AlAsya'iriyah iaitu dengan mentakwil. Manhaj ini banyak kesamaan dengan manhaj Asya'iriyah cuma berbeza dalam beberapa permasalahan seperti makna Qada' dan Qadar.

Wallahualam.

* Ayat-ayat mutasyabihat bermaksud kalimah pada ayat sifat yang terdapat dalam AlQuran mahupun hadits yang membawa maksud yang tidak layak bagi Allah SWT pada zahir lafaz.

No comments:

Post a Comment