Saturday, 19 November 2011

Wahai Hati... Tsabitlah Engkau




Tiada guna anak dan harta, sedangkan bertemu Allah dengan hati yang BUSUK~ Picture by runversailies.deviantart.com

Wahai Hati,
Kata Ali RA,
Engkau laksana bejana,
Maka kuisi suatu yang bermakna,
lalu engkau indah bercahaya.

Wahai Hati,
Kata Nabi SAW,
Engkau berbolak balik,
Kekadang suci,
Kekadang nista.

Ketika engkau suci,
Aku gembira bahagia,
Ketika engkau nista,
Aku sedih tak terhingga,
Kerna engkau adalah RAJA.

Wahai Raja,
Aku takut,
Aku risau
engkau keras membatu,
Sedang kalam tuhan lebutkanmu,
Kalam nabi basahkanmu.

Wahai Yang Keras,
Gerangan apa engkau mengeras,
Kau keras...
Seluruh tubuh ikut mengeras,
Rugi-seruginya.

Wahai Segumpal Darah,
Tunduklah dikau pada Yang Kuasa,
Sukarelalah dikau sebelum dipaksarelakan,
Kerna di pintu ada mati menanti.

Wahai Hati,
Apakah engkau tiada mata?
Mata hati,
Bukalah matamu,
Lihatlah batu yang keras
ia mampu dilekukkan,
Sedangkan engkau tidak,
tidak sekali-kali.

Wahai Rabbi,
Aku punya hati,
Tapi ia sekan mati,
Seolah-olah tiada erti.

Aku pohon pada Rab hati,
Tukarlah hati ini..
Agar kelak KAU kujumpai,
Dengan hati yang salim.

Qassam Mujahid,
19/11/2011- 6.22PM
Bayt Bujang Beriman, 
Irbid, Jordan.

Friday, 18 November 2011

Bahaya Syirik!!!



Syirik

Persoalan saya:
Adakah tauhid wujud sebelum adanya syirik atau syirik terlebih dahulu wujud sebelum adanya tauhid dalam sejarah ketamadunan manusia?

الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3)

1.(Allah) Yang Maha pengasih 2.Yang telah mengajarkan Al-Quran 3.Dia menciptakan manusia                              
                                                                                                                  (Surah Ar-Rahman: 1-3)

Daripada ayat dalam surah ini dapat kita peroleh manfaat iaitu Allah menyebutkan terlebih dahulu ayat menyatakan bahawa Dia yang mengajarkan Al-Quran kemudian baru menyebutkan bahawa Dia yang menciptakan manusia. Jelas di sini menunjukkan kepada kita bahawa tauhid itu telah dulu wujud sebelum adanya manusia yang syirik kepadaNya.

Sejarah syirik dalam kehidupan manusia

Sebelum zaman dakwah nabi Nuh A.s telah ada 5 orang soleh yang bertungkus lumus dalam usaha untuk menyeru manusia kembali kepada Allah iaitu wadd, suwa’, yagus, ya’uq dan nasr.(Nuh:23) Setelah beberapa lama mereka meninggal dunia. Bagi mengenang jasa mereka, kaum pada ketika itu mengukir patung peringatan. Tujuannya apabila mereka melihat kepada patung-patung tersebut terbit kesedaran dalam kalangan mereka untuk meneruskan amal islami yang dilakukakan oleh para solihin tersebut. Tetapi bersama peredaran zaman fahaman tersebut telah mula terhakis. Hingga sampai pada zaman nabi Nuh a.s, manusia sudah mula taksub dengan patung tersebut hatta ada yang bertindak menyembah mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka itu, ramai dalam kalangan kaum nabi Nuh berpaling daripada peringatan baginda. Hanya 84 orang sahaja yang beriman dalam jangka masa dakwah selama 950 tahun.

Sejarah syirik dalam kalangan masyarakat arab

Diriwayatkan oleh Ibnu Hisham dalam kitab sirahnya bahawa penyembahan berhala ini berlaku apabila seorang arab yang bernama Amru bin Luhai keluar dari kota  Makkah menuju ke Sham untuk beberapa urusannnya. Apabila dia sampai kesebuah tempat bernama Balqa’ dia bertemu dengan seorang yg bernama A’mliq bin Lawaz bin Sama bin Nuh. Ketika itu A’mliq sedang menyembah berhala dan berkata: “Berhala ni jika kita sembahnya dia akan memberikan kita rezeki”. Lalu dia memberi satu berhala kepada Amru setelah diminta olehnya untuk dibawa pulang kepada kaum arab. Sejak itu orang arab mula menyembah berhala.

Pembahagian syirik dalam Islam

1.      1. Syirik secara terang-terangan (جلي)

Syirik ini adalah syirik yang paling jelas yang mana kita boleh ukur melalui perbuatan seseorang. Contohnya penyembahan berhala,matahari dan lain-lain. Manakala dari segi pengakuan tentang syirik ini dinilai secara zahir dan jatuh hukum syirik. Tetapi ulama’ ada menyebutkan pengakuan ini boleh jadi syirik bagi manusia tetapi tidak bagi Allah mungkin disebabkan dia diseksa dan boleh jadi sebaliknya. Oleh sebab itu segala perkara itu bergantung kepada niat seseorang itu atas setiap perbuatannya. Sesetengah ulama’ berpendapat syirik ini paling bahaya dari syirik tersembunyi dan sesetengahnya tidak. Mengapa?

2.      2.  Syirik secara tersembunyi (خفي)

Syirik ini adalah syirik secara tersembunyi dan syirik inilah sebenarnya yang paling bahaya kerana boleh jadi seseorang itu telah syirik kepada Allah tetapi orang lain atau mungkin diri sendiri tidak tahu. Berbanding dengan syirik secara terang yang kita boleh lihat secara jelas dan dicegah. Tetapi dari segi hukumnya syirik secara terang adalah dosanya lebih berat berbanding syirik tersembunyi.

Syeikh islam Ibnu Taimiyyah membahagikan syirik kecil ini kepada dua pula iaitu:

i-                    نفق : syirik ini(nifaq) adalah bilamana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi  dia mengetahui bahawa dia telah mensyirikkan Allah cuma kadang-kadang terlalai dibawa arus dunia. Contoh syirik ini apabila seorang berasa riya’, u’jub, takabbur (sifat-sifat yang tidak elok yang membawa maksud bangga diri, menunjuk-nunjuk dalam kebaikan) dalam perkara baik yang telah dilakukan. Seseorang dapat mengenalpasti perasaan ini tetapi kekadang terlalai dan orang yang melakukan perbuatan ini digelar munafiq(orang yang bepura-pura dalam kebaikan)

ii-                  سرائر : syirik ini yang membawa maksud rahsia antara yang paling bahaya kerana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi dia tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya telah mensyrikkan Allah. Imam ibnu Taimiyyah ada menyebut lagi tentang 3 keadaan syirik ini:

-apabila seseorang mengharapkan sesuatu lebih dari pengharapannya kepada Allah
-apabila seseorang menyintai sesuatu lebih dari kecintaannya kepada Allah
-apabila seseorang takut kepada sesuatu lebih daripada takutnya kepada Allah

Oleh itu akhir kata marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada dosa syirik ini baik secara tersembunyi lebih-lebih lagi secara terang-terangan dengan doa yang diajar oleh nabi Muhammad S.A.W :

 اللهم إنّا نعوذ بك من أن نشرك بك شيئا نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه
Ya Allah kami berlindung daripada syirik kepadaMu dengan sesuatu perkara yang kami ketahui, dan kami memohon ampun kepada Mu daripada perkara yang tidak kami ketahui.

Adab ikhtilaf


بسم الله الرحمن الرحيم

Perselisihan Pendapat Antara Punca Perpecahan Ummah


        Perbezaan pendapat atau buah fikiran sering terjadi dalam kehidupan kita seharian.Contohnya yang dekat boleh kita ambil suami dan isteri,ibubapa dan anak-anak,guru-guru dan anak murid dan banyak lagi contoh lain.Lebih-lebih lagi,kita berada pada zaman yang mana manusia berlumba-lumba untuk memajukan diri mereka dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.Tambahan pula,"dunia di hujung jari" yang membolehkan manusia mencari,membaca dan memahami apa jua maklumat yang ingin diinginkan.Ini adalah salah satu punca atau faktor yang menimbulkan perselisihan pendapat dalam kalangan masyarakat iaitu apabila  masyarakat mula sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan itu.

      Sebenarnya,perkara ini sudah terjadi sejak dari zaman nabi saw,namun perselisihan yang berlaku pada zaman tersebut,tidak membawa kepada perpecahan,berbeza dengan zaman kita pada hari ini.Prof.Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya "Al-Ikhtilaf Al-Masyru' Wa Al-Tafarruq Al-Mazmum" ada menyentuh tentang permasalahan ini dan buku ini juga ditujukan khusus kepada pendokong-pendokong parti dan jemaah Islam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam arena dakwah dengan tujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. 

firman Allah swt,"Dan sesungguhnya ini adalah umatmu(iaitu)ummatan wahidah(umat yang satu)".

       Antara punca atau faktor lain yang boleh membawa kepada perpecahan ini adalah perbezaan ideologi atau fikrah.Masing-masing mempunyai fikrah yang berbeza,dalam masa yang sama ingin mengetengahkan fikrah masing-masing tanpa menilai dan mengukurnya terlebih dahulu adakah ia bersesuaian dengan waqi'(tempat) ataupun ia bertentangan dengan waqi'.Lebih parah lagi,apabila mereka merasakan bahawasanya fikrah yang dibawa adalah yang paling sohih berbanding dengan fikrah yang lain sehingga tidak ada ruang untuknya berlapang dada jika ada fikrah lain yang tidak seirama dengan kemahuan mereka.Orang seperti Ini boleh kita golongkan mereka sebagai orang yang "ta'assub","jumud" atau "bodoh sombong" kerana tidak mahu mendengar pandangan orang lain dan tidak boleh menerima kritikan daripada orang lain.

       Terdapat banyak lagi punca atau sebab yang boleh membawa pada perpecahan ummah selain dari perkara di atas yang boleh kita ambil berpandukan apa yang berlaku disekeliling kita samaada luar atau dalam negara.


Di sini kami sertakan antara adab-adab ketika mana berlaku perselisihan sesama kita :

  1. - Kita hendaklah berlaku adil terhadap orang yang tidak sehaluan dengan kita.
  2. - Bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada atau bertoleransi dalam perkara yang diperselisih.
  3. - Berdialog dengan cara yang baik dan penuh berhemah.
  4. - Jangan kita terlalu mudah untuk menghukum orang yang tidak sehaluan dengan kita.
  5. - Hormat-menghormati antara satu sama lain.
  6. - Bersedia mengugurkan pendapat jika perlu.
  7. -Sanggup menerima kritikan atau teguran daripada orang yang tidak sehaluan dengan kita.                   

         Berikut adalah di antara adab-adab yang boleh kita jadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita apabila kita terperangkap atau berada dalam situasi seperti ini.Akhir kalam,


"Ya Allah,Kau satukanlah hati-hati kami,dan Kau perbaikilah diri kami ini,dan Kau peliharalah umat ini(Islam) dari berpecah,Kau satukanlah kami pada perkara yang kami persetujui serta Kau jauhilah kami dari perkara yang membawa pada perselisihan dalam kalangan kami".


wallahua'lam






Thursday, 10 November 2011

Pengertian Syariah


 Pengertian syariah dapat dilihat melalui dua sudut iaitu

1.    Sudut Bahasa
2.    Sudut Istilah ulamak Fiqh

Pengertian syariah daripada sudut bahasa yang disepakati oleh cendekiawan bahsa membawa dua maksud iaitu:
1.    AtToriqoh AlMustaqimah (Jalan yang lurus)
Penggunaannya  dapat dilihat melalui firman Allah SWT :
(ثم جعلنك على شريعة من الأمر فاتبعها ولا تتبع اهواّء الذين لا يعلمون)  

Kemudian kami jadikan engkau (Muhammad)  mengikuti jalan yang lurus dari agama itu, maka ikutilah (syariat itu) dan janganlah engkau ikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui. (AlJatsiyah:18)
Perkataan syariah dalam ayat di atas membawa maksud jalan yang lurus.

2.    Maurid AlMak AlJari (Sumber Air yang bergerak)
Syariah juga bermaksud sumber air yang bergerak dan penggunaan hanya untuk minuman. Berdasarkan Kamus kalimah syara’a diambil daripada kalimah Syariat Islam iaitu bermaksud sumber untuk manusia minum. Penggunaan kalimah ini beerti menjelaskan sesuatu atau menerangkan sesuatu

Manakala jika dilihat pengertian syariah melalui sudut istilah yang disepakati Ulamak Fikh membawa maksud:
ما نزله الله عز وجل لعباده على لسان الأنبياء عليهم الصلاة والسلام سواء أكانت الأحكام إعتقادية أم عملية ليؤمنوا بها.

Sesuatu yang diturunkan  oleh Allah SWT kepada para hambaNya melalui lisan para nabi AS sama ada berbentuk hukum-hukum kepercayaan ataupun hukum-hukum perbuatan untuk beriman dengannya.

Pengertian istilah di atas dapat kita fahami bahawa syariat secara umum diturunkan melalui lisan para nabi, begitu juga pegertian syariat islamiyah: 
ما شرعه الله تعلى لعباده على لسان النبي محمد صلى الله عليه والسلام من الأحكام التي تصلح أحوال الناس في الدنيا و الآخرة سواء في ذلك أحكام العقيدة او العبادة أو الأخلاق
Sesuatu yang disyariatkan kepada hamba-hambaNya melalui lisan Nabi Muhammad SAW daripada hukum-hukum yang memperbaiki hal ehwal manusia di dunia dan akhirat sama ada berbentuk hukum aqidah ataupun ibadah ataupun akhlak.
Melalui pemahaman daripada istilah di atas dapat kita konklusikan bahawa Tasyri’ Islami berlandaskan sumber dari Ilahi sama ada AlQuran ataupun Sunnah, dan bersih dari hawa nafsu manusia. Wallahua’lam

Friday, 4 November 2011

Ukhuwah Islamiyyah Satu Tuntutan



  Sahabat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seseorang insan.Sahabat juga menjadi tempat untuk seseorang itu mengadu masalah dan memohon bantuan samaada berbentuk kewangan dan khidmat nasihat.Ini menunjukkan kepada kita bahawa sahabat memainkan peranan penting dan tanggungjawab yang besar dalam kehidupan seharian kita kerana manusia ini saling memerlukan.
  
   Tetapi dalam bersahabat,ramai di kalangan kita yang salah mendefinisikannya atau salah memahami maksud sebenar persahabatan yang dituntut oleh agama kita iaitu Islam.Banyak ayat-ayat al-quran dan hadis nabawiyyah yang menggalakkan kita untuk bersahabat atau berteman.Antaranya :

Firman Allah SWT : " Sesungguhnya orang mu'min itu bersaudara maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu memperolehi rahmat",surah Al-Hujurat.

Di antara hadis Rasulullah saw :

1) Rasulullah saw bersabda," Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sepertimana dia kasih kepada dirinya sendiri",hadis shohih.

2) Rasulullah saw pernah bersabda," 7 golongan yang dinaungi(dilindung) oleh Allah swt di hari akhirat pada hari yang tiada naungan(perlindungan) kecuali naungan Allah swt.........(antaranya).....2 orang lelaki(perempuan) yang berkasih(bersahabat) kerana Allah swt.Mereka bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah",hadis shohih.

  Berikut adalah dalil-dalil dari Al-quran dan As-sunnah yang menggalakkan kita untuk bersahabat.Pada waktu yang sama,ia(persahabatan) memerlukan garis panduan yang betul supaya persahabatan yang terjalin itu benar-benar berada di atas landasan yang diredhai Allah swt.

  Antara asas-asas ukhuwah atau tiang-tiang yang akan mengukuhkan hubungan seseorang itu dengan sahabatnya,barangsiapa yang telah meruntuhkan salah satu daripadanya maka runtuhlah insitusi persahabatan tersebut.Berikut adalah ciri-ciri perlu ada dalam diri setiap sahabat adalah :

1) Ikhlas    : Ikhlas merupakan perkara yang penting dalam bersahabat kerana ia akan menentukan hala tuju
                sesuatu hubungan yang terjalin.Persahabatan yang terbina di atas dasar ikhlas insyaAllah akan
                berkekalan hingga ke akhir hayat.

2) Amanah : Amanah adalah salah satu sifat yang perlu atau wajib ada dalam diri setiap insan yang bergelar
                sahabat.Kita perlulah amanah dalam setiap perkara kerana ia amat penting untuk memastikan
                hubungan kita berjalan dengan lancar tanpa ada syak dan keraguan daripada kedua-dua pihak.
                Contohnya,kita haruslah menjaga rahsia-rahsia sahabat kita,kerana ini adalah amanah atau
                kepercayaan sahabat kita kepada kita,janganlah sesekali kita cuba untuk merosakkannya.

    Dua perkara ini sangat penting untuk memastikan hubungan kita dengan sahabat2 kita akan berkekalan dan mendapat redha Allah swt kerana persahabatan yang terjalin bukan dia atas dasar keikhlasan dan amanah tidak akan bertahan lama,bahkan akan memberi kesan yang buruk kepada kita.Ini kerana,benih atau akar yang tidak elok akan menghasilkan natijah yang juga tidak elok.

  Akhir kalam,marilah sama-sama kita muhasabah dan merenung kembali adakah tujuan kita bersahabat atau berteman di atas dasar nafsu ataupun untuk mencari redha  Allah swt.Jika tujuannya adalah nafsu maka bersegeralah kita memohon ampun kepada Allah swt dan jika ia terbina di atas redha Allah swt maka berusaha dan berdoalah agar diberi kekuatan untuk mempertahankan ikatan yang suci murni ini seterusnya beristiqamahlah untuk terus berada di atas jalan ini hingga ke akhir hayat kita...insyaAllah....

" Kawan untuk bersuka-suka mudah untuk dicari TETAPI Kawan yang menangis dan mengajak untuk berbuat kebaikan sukar dicari"                      

wallahua'lam