Friday, 18 November 2011

Adab ikhtilaf


بسم الله الرحمن الرحيم

Perselisihan Pendapat Antara Punca Perpecahan Ummah


        Perbezaan pendapat atau buah fikiran sering terjadi dalam kehidupan kita seharian.Contohnya yang dekat boleh kita ambil suami dan isteri,ibubapa dan anak-anak,guru-guru dan anak murid dan banyak lagi contoh lain.Lebih-lebih lagi,kita berada pada zaman yang mana manusia berlumba-lumba untuk memajukan diri mereka dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.Tambahan pula,"dunia di hujung jari" yang membolehkan manusia mencari,membaca dan memahami apa jua maklumat yang ingin diinginkan.Ini adalah salah satu punca atau faktor yang menimbulkan perselisihan pendapat dalam kalangan masyarakat iaitu apabila  masyarakat mula sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan itu.

      Sebenarnya,perkara ini sudah terjadi sejak dari zaman nabi saw,namun perselisihan yang berlaku pada zaman tersebut,tidak membawa kepada perpecahan,berbeza dengan zaman kita pada hari ini.Prof.Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya "Al-Ikhtilaf Al-Masyru' Wa Al-Tafarruq Al-Mazmum" ada menyentuh tentang permasalahan ini dan buku ini juga ditujukan khusus kepada pendokong-pendokong parti dan jemaah Islam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam arena dakwah dengan tujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. 

firman Allah swt,"Dan sesungguhnya ini adalah umatmu(iaitu)ummatan wahidah(umat yang satu)".

       Antara punca atau faktor lain yang boleh membawa kepada perpecahan ini adalah perbezaan ideologi atau fikrah.Masing-masing mempunyai fikrah yang berbeza,dalam masa yang sama ingin mengetengahkan fikrah masing-masing tanpa menilai dan mengukurnya terlebih dahulu adakah ia bersesuaian dengan waqi'(tempat) ataupun ia bertentangan dengan waqi'.Lebih parah lagi,apabila mereka merasakan bahawasanya fikrah yang dibawa adalah yang paling sohih berbanding dengan fikrah yang lain sehingga tidak ada ruang untuknya berlapang dada jika ada fikrah lain yang tidak seirama dengan kemahuan mereka.Orang seperti Ini boleh kita golongkan mereka sebagai orang yang "ta'assub","jumud" atau "bodoh sombong" kerana tidak mahu mendengar pandangan orang lain dan tidak boleh menerima kritikan daripada orang lain.

       Terdapat banyak lagi punca atau sebab yang boleh membawa pada perpecahan ummah selain dari perkara di atas yang boleh kita ambil berpandukan apa yang berlaku disekeliling kita samaada luar atau dalam negara.


Di sini kami sertakan antara adab-adab ketika mana berlaku perselisihan sesama kita :

  1. - Kita hendaklah berlaku adil terhadap orang yang tidak sehaluan dengan kita.
  2. - Bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada atau bertoleransi dalam perkara yang diperselisih.
  3. - Berdialog dengan cara yang baik dan penuh berhemah.
  4. - Jangan kita terlalu mudah untuk menghukum orang yang tidak sehaluan dengan kita.
  5. - Hormat-menghormati antara satu sama lain.
  6. - Bersedia mengugurkan pendapat jika perlu.
  7. -Sanggup menerima kritikan atau teguran daripada orang yang tidak sehaluan dengan kita.                   

         Berikut adalah di antara adab-adab yang boleh kita jadikan pedoman dalam kehidupan seharian kita apabila kita terperangkap atau berada dalam situasi seperti ini.Akhir kalam,


"Ya Allah,Kau satukanlah hati-hati kami,dan Kau perbaikilah diri kami ini,dan Kau peliharalah umat ini(Islam) dari berpecah,Kau satukanlah kami pada perkara yang kami persetujui serta Kau jauhilah kami dari perkara yang membawa pada perselisihan dalam kalangan kami".


wallahua'lam






No comments:

Post a Comment