Thursday, 24 May 2012

Hukum Jihad edisi 2


sambungan daripada post yang sebelum ini. Sila klik.
                 
1       2Firman Allah SWT: 

لَّا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّـهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّـهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّـهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
      Maksudnya: Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar (An-Nisa’:95).

  
          3.  Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ 
 وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ 

Bermaksud: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
   
     Imam Al-Qurtubi menerangkan tentang ayat tersebut dalam tafsirnya: Jihad bukanlah wajib ain tetapi ia fardhu kifayah seperti yang sebutkan sebelum ini, seandainya semua orang keluar untuk berjihad maka akan lemahlah orang-orang dibelakang mereka yang terdiri daripada kanak-kanak, maka sepatutnya keluarkanlah sekumpulan daripada mereka untuk berjihad, dan tinggalkanlah sebahagian yang lain untuk menuntut ilmu agama dan menjaga para wanita, sehinggalah apabila kumpulan yang pergi berperang pulang maka yang bermukim (yang menuntut ilmu agama) mengajar mereka tentang hukum-hukum syara’ dan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW.

    4.   Dalil yang keempat daripada Sohih Muslim:

(عن أبي سعيد الخضري أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث بعثا إلى بني لحيان من هذيل, فقال: لينبعث من كل رجلين أحدهما, والأجر بينهما)
       Maksudnya: Dari Abi Said Al-Khudri  bahawa Rasulullah SAW telah menghantar sepasukan (tentera) ke Bani Lihyan daripada (bani) Huzail, Lalu Raslullah bersabda: Aku akan hantarkan seorang pemuda daripada setiap dua orang pemuda  dan pahala bagi keuda-duanya.

      Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini berkata: Ulamak bersepakat bahawa Bani Lihyan pada ketika itu berada dalam kekufuran, maka Rasulullah SAW telah menghantar kepada mereka sepasukan (tentera) untuk berperang, yang dimaksudkan daripada setiap dua orang seorang untuk berperang ialah hendaklah dikeluarkan daripada setiap kabilah separuh bilangan mereka. 
      Dan yang dimaksudkan pula dengan pahala bagi kedua-dua beerti pahala perang juga untuk semua orang dalam sesuatu masyarakat,iaitu  pahala untuk orang yang  keluar jihad dan pahala untuk orang yang menjaga urusan masyarakat yang tidak keluar perang.
    
      Konklusinya, secara umum dapat kita mengatakan bahawa hukum jihad adalah Fardhu Kifayah, dan akan bertukar kepada wajib apabila berlaku beberapa keadaan yang akan saya terangkan di bahagian lain. Moga bermanfaat. 
      

     Sumber Rujukan:  
    1. Al-Quran

    2. As-Sunnah
    3. Tanwir Absor oleh Al-Imam Muhammad Bin Ali Syihabbuddin
    4. Mughnil Muhtaj syarah kepada Al-Minhaj oleh Imam Al-Khotib As-Syarbini
    5. Al-Mughni oleh Al-Imam Ibnu Qudamah
    6. Al-Jihad wal Qital fis Siyasah As-syariyah oleh Dr Muhammad Khairul Haikal
    7. Tafsir Al-Qurtubi oleh Imam Qurtubi
    8. Syarah Sohih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi



Wednesday, 23 May 2012

Isu Semasa: Respons terhadap kenyataan Irsyad Manji


Berikut adalah respons saya dari sudut ilmiah terhadap beberapa kenyataan Irsyad Manji ketika beliau di wawancara seperti yang disiarkan di Malaysiakini bertarikh 22 Mei 2012.


Manji mengatakan:

Menurutnya, Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa setiap manusia adalah ciptaan Tuhan dan ia termasuklah golongan tersebut.

"Kembali kepada Al-Quran, setiap orang adalah ciptaan Tuhan. Malahan gay dan lesbian juga dicipta Tuhan...

Respons saya:

Saya akui kenyataan mengenai setiap manusia diciptakan Tuhan termasuk golongan ini adalah benar berdasarkan dalil surah Al-Hujurat:13. cuma pada hemat saya ada beberapa perkara perlu diberi penekanan:

Secara keselurahannya kita WAJIB mengimani bahawa Allah yang menciptakan setiap kebaikan di atas dunia ini dan juga keburukan yang berlaku kerana setiap perkara yang berlaku di atas dunia adalah berdasarkan sifat ‘Kehendak Allah dan KudratNya’ dan Ilmu Allah lebih luas dan Dia Maha mengetahui apa yang kita buat. Cuma sebagai hamba kita tidak menisbahkan keburukan kepada Tuan kita kerana ia berlaku atas pilihan sesorang itu sendiri dan hanya golongan seperti Syiah Zaidiyah dan Mu’tazilah yang berpegang kepada kepercayaan ‘Usul 5 ’sahaja menolak keburukan itu datang dari Allah.

saya cuba bagi satu analogi:

Seorang ibu melarang anak kecil berusia 5 tahun bermain di atas tangga kerana ibu ini telah mempunyai ilmu bahawa tempat itu berbahaya. Tetapi terpulang kepada si anak untuk tetap bemain di situ atau pun tidak.

Lebih-lebih lagilah ilmu Allah Yang Maha Luas. Dia menciptakan setiap perkara itu ada baik ada buruk. Dia menyuruh buat yang baik dan tinggalkan keburukan dan memberi pilihan kepada manusia dalam perkara ini dengan mengemukan ganjaran dan azab setimpal atas perbuatan manusia itu sendiri.

Jadi saya menyifatkan kenyataan Manji adalah benar pada akarnya kerana kebaikan dan keburukan diciptakanNya. Tapi dari sudut konteks pemahaman penciptaan golongan seperti ini tidak tepat kerana  golongan LGBT memang dicipta olehNya tetapi larangan untuk mengikuti fahaman golongan tersebut juga disebutkan di dalam Al-Quran yang akan saya jelaskan dibawah. 

Kata Manji lagi:

Tambahnya, konsep kononnya Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang.

Respons saya:

Saya yakin Manji percaya kepada Al-Quran, cuma beberapa penafsiran daripada beliau kurang tepat. Kenyataan ini adalah salah kerana Allah telah merakamkan kisah yang berlaku kepada kaum nabi Lut akibat perbuatan songsang yang mereka lakukan:

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas"
. (Al-A’raf 80-81)

Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa golongan ini adalah golongan yang keji dan melampaui batas. Allah juga menunjukkan kekuasaanNya dengan menghantar azab yang pedih bagi mereka ini kerana tindakan mereka yang melanggar fitrah itu. Firman Allah:

Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. (Hud:82)

Ayat ini merakamkan kisah tersebut di mana Allah membalikkan bumi ini sesuai dengan perbuatan songsang mereka yang tempat itu dikenali sebagai Laut Mati. Jadi adakah Allah tidak murka kepada golongan ini selepas mereka membuat kerosakan? 




~Laut Mati~

Manji mempertikaikan lagi bahawa jika golongan ini dibenci, maka ia bertentangan dengan sifat kasih sayang Allah. Bukankah Allah Maha Penyayang?

Kasih sayang Allah itu maha luas hingga kepada binatang, alam dan sebagainya apatah lagi manusia walaupun segelintir yang bermaksiat kepadaNya kerana kasih sayang Allah kita boleh lihat lebih dekat jika kita memahami sifatNya sendiri:

Ar-Rahman: yang membawa maksud kasihNya terhadap seluruh manusia meskipun derhaka dengan mengurnakan rezeki berbentuk harta, keluarga dan sebagainya.

Ar-Rahim: yang membawakan maksud sayang Allah dan Dia memuliakan orang yang beriman kepadaNya dan memberi pertolongan yang khusus terutama dalam menyebarkan agamaNya.

Sifat-sifat ini menjelaskan kasih sayang Allah itu tiada tandingan kepada seluruh makhluknya. Cuma dalam perkara yang bertentangan dengan perintahNya, Allah juga melarang sekeras-kerasnya untuk manusia melakukannya seperti mana kisah yang saya sebutkan di atas. Hal ini juga tidak menafikan kasih-sayangNya terhadap manusia kerana Mahasuci Allah mempunyai pelbagai sifat dan segala sifat-sifat ini menunjukkan bahawa Allah itu sempurna. 

Dalam situasi ini (fahaman LGBT), apabila kita melihat dari sudut yang lain, Allah menunjukkan kasih sayangNya dengan mengharamkan perkara ini dengan memberi rahmatNya melalui perkahwinan yang sempurna dan bertepatan dengan syara’ kerana bukankah ia akan mengembangkan generasi akan datang?

Firman Allah:

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.  (An-Nisaa' 4:1)

Dalam bahagian ‘tidak perlu minta maaf’ daripada artikel tersebut saya ada beberapa hujah yang saya ingin kemukan antaranya:

Manji mengatakan bahawa dibolehkan perkahwinan antara muslim dan non-muslim dengan tidak perlu menukarkan agama. Malah beliau menyeru anak muda untuk berbuat demikian. Tambah Manji lagi, ada seorang Imam bernama  Dr Khaleel Mohamed yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam perundangan Islam dari McGill University turut menyokong pendirianNya tersebut.

Hujah saya:

Saya juga mendokong pendapat Manji ini dengan mengkhususkan perkahwinan tanpa perlu menukar agama kerana di dalam Islam sendiri seseorang muslim itu dibolehkan berkahwin dengan perempuan ahli kitab (bukan musyrik dan muslim) meskipun dia tidak menukarkan agamanya. Berlainannya perkara ini bagi perempuan tidak dibenarkan atas sebab jika lelaki muslim dia akan menjadi ketua keluarga dan tidak dapat tidak si isteri perlu taat kepada suami dan jika perkara itu berlaku ke atas perempuan muslim yang berkahwin dengan lelaki ahli kitab maka ia akan menjadi bebanan. Perkara ini disebutkan oleh Allah dalam firmanNYA:

Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.  (Al-Maidah 5:5)

Perkara ini berlainan pula jika seorang lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin dengan pasangan mereka yang bukan islam yang musyrik berdasarkan firman Allah:

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. (Al-Baqarah:221)

Jadi berdasarkan hujah saya ini jika pendapat Manji itu adalah berkenaan dengan ahli kitab maka saya turut menerimanya. Berlainan pula jika Manji bermaksudkan perkara ini secara am (ahli kitab dan musyrik) maka saya sependapat dengan mereka yang menentang fahaman ini.

Dalam bahagian 'kerjasama pelampau-polis mengejutkan’ dalam artikel ini, suka saya kongsikan pendapat kritis dari rakan saya Ahmad Hidayat Hasni dalam artikel beliau dalam bahagian ‘Batas Kebebasan’ yang disiarkan di Malaysiakini pada hari ini bertarikh 23/5/2012.
http://www.malaysiakini.com/news/198777

~wallahua'lam~

Rujukan dan Sumber:

1. Qasas Al-Quran oleh Dr Muhammad Bayumi dalam bab Kisah Nabi Lut a.s
2. Aqidah Tahawiyah oleh Abu Jaa'far At-Tahawi dalam bab Pegangan Mu'tazilah
3. Pembelajaran Tentang Pecahan Kumpulan dalam Sejarah Islam Syiah dan Khawarij oleh Dr Ahmad Muhammad Jali dalam bab Syiah Zaidiyah
4. Qanun Ahwal Syakhsiyah Urduni oleh Dr Sulaiman Al-Asyqar dalam bab pernikahan dengan ahli kitab
5. Mushaf Al-Burhan
6. Akhbar Malaysiakini online bertarikh 22 dan 23 Mei 2012
     


Thursday, 19 April 2012

Hukum Jihad edisi 1


Soalan: Adakah hukum jihad wajib untuk semua umat Islam dalam konteks sekarang atau jihad hanya pada zaman dahulu sahaja?
Jihad ibarat atap dalam Islam
Jawapan:

Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang Jihad semuanya berbentuk Muhkamah (hukuman) dan tiada satu ayat  atau hadis pun yang dinasakhkan. Hal ini bermaksud hukum jihad terpakai sehingga Kiamat. Hairan apabila ada beberapa cendekiawan yang mengatakan Jihad ini sudah tidak sesuai di zaman sekarang dan hanya terpakai di zaman sebelum jatuhnya khilafah.

Semua jumhur ulamak daripada Ahli Sunnah wal Jamaah kecuali Abdullah Bin Al-Hassan, berpendapat bahawa Jihad di jalan Allah asalnya adalah fardu kifayah. Hal ini membawa maksud, seandainya sebahagian daripada masyarakat telah melaksanakannya maka  sebahagian yang lain terangkat dosa.

Dalam Tanwir Al-Absor dan disyarah pula dalam Ad-Dar Al-Mukhtar tentang hukum Jihad mengatakan hukumnya adalah fardhu kifayah pada permulaan dan walaupun kita tidak memulakan peperangan tersebut. Begitu juga apa yang disebut oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Minhaj dan disyarah dalam Mughni Al-Muhtaj mengatakan orang kafir ada dua keadaan, salah satunya apabila mereka yang tinggal di negara mereka dan mereka tiada niat untuk menguasai  negara-negara Islam, maka hukumnya fardhu kifayah terhadap orang Muslim untuk berjihad meninggikan kalimah Allah terhadap mereka.

Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menukilkan bahawa jihad merupakan salah satu daripada perkara yang fardhu kifayah sepertimana pendapat kebanyakkan ahli ilmu tetapi Ibnu Al-Musayyib mengatakan ia sebahagian daripada fardhu ain. Malah mazhab Az-Zohiri yang dipelopori oleh Ibnu Hazim berpendapat bahawa  jihad itu fardhu kifayah.

Antara dalil-dalil yang mengatakan hukum adalah fardhu kifayah:

1.  Allah SWT berfirman: (كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ) bermaksud: diwajibkan ke atas kamu untuk berperang (Al-Baqarah: 216). 
      Dr. Muhammad Khairul Haikal dalam kitabnya (Al-Jihad wa Al-Qital fi As-Siyasah Asyar’iah) mengatakan bahawa kalimah كتب membawa maksud Wajib, tetapi bukanlah jihad itu wajib ain dalam semua keadaan hanya dalam beberapa keadaan. Ibnu ‘Atiyah juga mengatakan Ijma’ ulamak  berpendapat hukum Jihad fardhu kifayah ke atas umat Muhammad SAW. 

b          bersambung....

Thursday, 8 March 2012

kerosakan pertama di atas dunia?


                                                     ~gambar hiasan~                                                        


Hasad          
    
Imam Ibnu Qayyim ada menyebutkan dalam tafsirnya dalam merungkaikan makna hasad iaitu merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Sejarah kerosakan pertama yang berlaku disebabkan hasad dalam kalangan manusia:

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
                                                                                                                         (Al-Maidah:30)

Tafsiran:
Ulama menafsirkan ‘orang-orang yang rugi’ dalam ayat ini adalah termasuk orang yang berhasad dengki.

Kisah Habil dan Qabil

Ya… kisah ini sebenarnya telah lama disebutkan di dalam Al-Quran dan itulah kerosakan pertama sebenarnya di atas dunia ini hingga menyebabkan pembunuhan ahli keluarga. Kisah ini bermula apabila Allah mengurniakan kepada Adam dua pasang anak kembar dan kedua-duanya lelaki dan perempuan bagi setiap pasangan iaitu Habil serta pasangan kembarnya Damimah dan Qabil serta pasangan kembarnya Wadiah. Di izinkan Allah kembar Qabil iaitu Wadiah lebih cantik daripada Damimah kembar,Qabil.

Mulanya episod  Allah menguji ketaqwaan hambanya dengan memerintahkan untuk anak-anak nabi Adam berkahwin dengan syarat bukan dengan pasangan kembar masing-masing tetapi dengan pasangan yang berbeza. Qabil membantah apabila perintah Allah itu sampai ke telinganya melalui nabi Adam kerana pasangan kembarnya lebih cantik daripada pasangan kembar Habil. Mulalah bibit hasad dalam hati Qabil.

Seterusnya Allah memerintahkan keduanya untuk melakukan korban. Tetapi Allah menerima korban orang yang benar-benar bertaqwa disisinya iaitu Habil. Tanda-tanda diterima korban itu seperti yang disebutkan oleh Imam Ar-Razi dalam tafsirnya (Tafsir Kabir) adalah Allah menurunkan api daripada langit dan me’makan’ korban tersebut. Pandangan ini mendapat kesepatan ulama’ tafsir akan kesahihannya. Maka  membuak-buak lagi rasa hasad Qabil kepada Habil hingga dia membuat keputusan untuk menghapuskan riwayat Habil yang dirakamkan oleh Allah dalam ayat:

قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.                                                                  
                                                                                                                              (Al-Maidah:27)

Pengajaran:
Begitulah hakikatnya dalam amalan seharian. Setiap perkara kebaikan yang diterima oleh Allah adalah daripada hambanya yang benar-benar bertaqwa.

Pembahagian Hasad dari sudut pandang ulama’:

       1. merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.  
       2. Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.
       3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.

Ulama’ menyebutkan bahawa pembahagian pertama dan kedua adalah dilarang. Tetapi pembahagain ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:

وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
                                                                                                                                  (Al-Mutoffifin:26)

Dan juga seperti yang diriwayatkan dalam Sohih Bukhari:

عبدالله ابن مسعود قال,قال نبي صلى الله عليه وسلم. لا حسد إلا في اثنتين : رجل آتاه الله مالا, وسلطه على هلكته في الحق. ورجل آتاه الله الحكمة. فهو يقضي بها ويعلمها الناس.

Abdullah Ibnu mas’ud ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Ulasan:

Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana para sahabat tidak lokek serta tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.
mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Sebab-sebab yang boleh menghalang perasaan dengki oleh orang lain:

        1.  Berharap Allah menjauhkan diri daripada perbuatan hasadnya
        2. Bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya
        3. Mengosongkan hati dan fikiran dari memikirkannya (bersangka baik)
        4. Menjauhi permusuhan dan bersabar jika dimusuhi
        5.  Mudah memaafkan orang lain
        6. Menerima ujian daripada Allah dan ikhlaskan hati
        7. Membalas keburukan orang lain dengan kebaikan

Secara keseluruhannya, perkara yang paling susah dilakukan oleh manusia adalah perkara yang terakhir. Tetapi sebenarnya itulah hakikat yang nyata yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda kepada ummat.

Cara-cara untuk merawat penyakit hasad itu daripada diri sendiri:

        1.  Mengetahui bahawa segala nikmat daripada Allah
        2. Mengetahui bahawa tidak membawa faedah perasaan ini kecuali lebih banyak keburukan dan sebab hilangnya kebaikan     
        3.  Mengetahui bahawa tidak menghalang nikmat yang Allah berikan kepada sesorang walaupun ada orang dengki dengannya.

Kesan-kesan buruk hasad dengki:

        1.Orang yang memiliki sifat hasad tidak dapat sempurna imannya, sebab ia tidak akan dapat mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.  
        2. Hasad mencegah pemiliknya daripada berbuat kebaikan dan manfaat.
        3. Hasad dapat memecahkan kesatuan, dan persaudaraan kaum muslimin.
        4.Hidupnya tidak pernah tenang dan tenteram. Orang yang hasad selalu dalam keadaan gundah gulana dan resah melihat orang lain lebih darinya.
        5. Menimbulkan sikap egois yang tinggi dan tidak menyukai kebaikan orang lain.


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:

ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم  

Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasihi lagi maha Penyayang.

Rujukan : Qasas Al-Quran Pengajaran dan Ibrah kepada Pendakwah dalam berdakwah oleh Muhammad Bayumi.

Thursday, 16 February 2012

semalam, hari ini, & esok.


semalam, 
sebuah projek dilakasana,
sebidang tanah dibuka,
untuk projek besar gamaknya,
menelan belanja; 
jutaan ringgit banyaknya,
anak-anak pokok dibawa,
dari setiap pelusuk dunia,
dengan pelbagai jenis baja,
bermacam-macam warna,
antaranya perang dan jingga,
khabarnya,
projek ini menjadi rangka,
dalam mencipta generasi mulia.




hari ini,
pokok-pokok ini,
masih dijaga rapi,
bagai anak sendiri,
moga ikhtiar ini,
tidak menjadi mimpi,
juga anganan yang tak pasti,
baja dan air yang sama;
masih disirami,
penjaganya tersenyum rapi,
berdoa agar pokok-pokok ini,
kelak mampu berbakti,
kepada jiwa yang akan berdiri,
sebagai pengganti sejati.




hari esok,
apa pula khabar si pokok?
yang berdiri di bumi bertuah,
memberi teduh daripada berpeluh,
sudah sedia berbuah?
pabila ranumnya menjadi merah,
membantu yang susah,
juga tidak kalah,
membantu yang lemah,
penjaganya sering mengadu;
kepada pencipta hikmah,
menghilangkan resah gelisah,
agar hasilnya tidak bernanah,
mengandungi nafsu serakah,
dimata masyarakat menjadi sampah,
semoga khabar dan rupa sama indah,
sehingga jasad dikandung tanah,
insya allah.


hilmi,
8.15 pagi,
15/2/2011.