Thursday, 8 March 2012

kerosakan pertama di atas dunia?


                                                     ~gambar hiasan~                                                        


Hasad          
    
Imam Ibnu Qayyim ada menyebutkan dalam tafsirnya dalam merungkaikan makna hasad iaitu merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Sejarah kerosakan pertama yang berlaku disebabkan hasad dalam kalangan manusia:

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
                                                                                                                         (Al-Maidah:30)

Tafsiran:
Ulama menafsirkan ‘orang-orang yang rugi’ dalam ayat ini adalah termasuk orang yang berhasad dengki.

Kisah Habil dan Qabil

Ya… kisah ini sebenarnya telah lama disebutkan di dalam Al-Quran dan itulah kerosakan pertama sebenarnya di atas dunia ini hingga menyebabkan pembunuhan ahli keluarga. Kisah ini bermula apabila Allah mengurniakan kepada Adam dua pasang anak kembar dan kedua-duanya lelaki dan perempuan bagi setiap pasangan iaitu Habil serta pasangan kembarnya Damimah dan Qabil serta pasangan kembarnya Wadiah. Di izinkan Allah kembar Qabil iaitu Wadiah lebih cantik daripada Damimah kembar,Qabil.

Mulanya episod  Allah menguji ketaqwaan hambanya dengan memerintahkan untuk anak-anak nabi Adam berkahwin dengan syarat bukan dengan pasangan kembar masing-masing tetapi dengan pasangan yang berbeza. Qabil membantah apabila perintah Allah itu sampai ke telinganya melalui nabi Adam kerana pasangan kembarnya lebih cantik daripada pasangan kembar Habil. Mulalah bibit hasad dalam hati Qabil.

Seterusnya Allah memerintahkan keduanya untuk melakukan korban. Tetapi Allah menerima korban orang yang benar-benar bertaqwa disisinya iaitu Habil. Tanda-tanda diterima korban itu seperti yang disebutkan oleh Imam Ar-Razi dalam tafsirnya (Tafsir Kabir) adalah Allah menurunkan api daripada langit dan me’makan’ korban tersebut. Pandangan ini mendapat kesepatan ulama’ tafsir akan kesahihannya. Maka  membuak-buak lagi rasa hasad Qabil kepada Habil hingga dia membuat keputusan untuk menghapuskan riwayat Habil yang dirakamkan oleh Allah dalam ayat:

قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.                                                                  
                                                                                                                              (Al-Maidah:27)

Pengajaran:
Begitulah hakikatnya dalam amalan seharian. Setiap perkara kebaikan yang diterima oleh Allah adalah daripada hambanya yang benar-benar bertaqwa.

Pembahagian Hasad dari sudut pandang ulama’:

       1. merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.  
       2. Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.
       3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.

Ulama’ menyebutkan bahawa pembahagian pertama dan kedua adalah dilarang. Tetapi pembahagain ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:

وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
                                                                                                                                  (Al-Mutoffifin:26)

Dan juga seperti yang diriwayatkan dalam Sohih Bukhari:

عبدالله ابن مسعود قال,قال نبي صلى الله عليه وسلم. لا حسد إلا في اثنتين : رجل آتاه الله مالا, وسلطه على هلكته في الحق. ورجل آتاه الله الحكمة. فهو يقضي بها ويعلمها الناس.

Abdullah Ibnu mas’ud ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Ulasan:

Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana para sahabat tidak lokek serta tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.
mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Sebab-sebab yang boleh menghalang perasaan dengki oleh orang lain:

        1.  Berharap Allah menjauhkan diri daripada perbuatan hasadnya
        2. Bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya
        3. Mengosongkan hati dan fikiran dari memikirkannya (bersangka baik)
        4. Menjauhi permusuhan dan bersabar jika dimusuhi
        5.  Mudah memaafkan orang lain
        6. Menerima ujian daripada Allah dan ikhlaskan hati
        7. Membalas keburukan orang lain dengan kebaikan

Secara keseluruhannya, perkara yang paling susah dilakukan oleh manusia adalah perkara yang terakhir. Tetapi sebenarnya itulah hakikat yang nyata yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda kepada ummat.

Cara-cara untuk merawat penyakit hasad itu daripada diri sendiri:

        1.  Mengetahui bahawa segala nikmat daripada Allah
        2. Mengetahui bahawa tidak membawa faedah perasaan ini kecuali lebih banyak keburukan dan sebab hilangnya kebaikan     
        3.  Mengetahui bahawa tidak menghalang nikmat yang Allah berikan kepada sesorang walaupun ada orang dengki dengannya.

Kesan-kesan buruk hasad dengki:

        1.Orang yang memiliki sifat hasad tidak dapat sempurna imannya, sebab ia tidak akan dapat mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.  
        2. Hasad mencegah pemiliknya daripada berbuat kebaikan dan manfaat.
        3. Hasad dapat memecahkan kesatuan, dan persaudaraan kaum muslimin.
        4.Hidupnya tidak pernah tenang dan tenteram. Orang yang hasad selalu dalam keadaan gundah gulana dan resah melihat orang lain lebih darinya.
        5. Menimbulkan sikap egois yang tinggi dan tidak menyukai kebaikan orang lain.


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:

ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم  

Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasihi lagi maha Penyayang.

Rujukan : Qasas Al-Quran Pengajaran dan Ibrah kepada Pendakwah dalam berdakwah oleh Muhammad Bayumi.

No comments:

Post a Comment