Friday, 29 March 2013

Dr. Saeed Ramadhan dalam Kenangan

Allahyarham Dr Saeed Ramadhan Al-Bouti

Baru-baru terdengar berita tentang kematian seorang ulamak besar Syria yang disegani dunia akan keilmuan beliau yang hebat, terlalu banyak sumbangan beliau terhadap dunia Islam dan keilmuan Islam, banyak buku beliau yang sempat saya baca, penuh dengan mutiara-mutiara ilmu.

Beliau meninggal dunia dibom dalam satu letupan ketika mana sedang mengajar di sebuah masjid di Damascus, Masha Allah beliau meninggal dunia ketika mana sedang menyebar ilmu Allah SWT. Sehingga sekarang masih diselidik pembunuhan beliau, sama ada dilakukan oleh tentera kerajaan atau pun tentera pembebasan.

Antara buku-buku beliau yang menjadi tinta emas buat umat Islam:

1. Fikh Seerah.
2. Islam dan Permasalahan Para Pemuda
3.Aqidah Islamiyah dan Pemikiran Kontemporari
4.Jihad Fil Islam
5. Sistem Ketamadunan Manusia dalam Al-Quran
6. Kemanusian dan Keadilan Allah di bumi

dan banyak lagi kitab-kitab karangan beliau. kehidupan beliau disumbangkan untuk Islam, walaupun ada beberapa Ijtihad beliau tentang revolusi Syria tidak disetujui, kita sebagai umat Islam seharusnya mencintai para ulamak dan cendiakawan-cendiakawan Islam, kerana mereka yang memberi tunjuk ajar kepada kita tentang Deen Allah dan mendekatkan kita pada manhaj Rasulullah SAW.

Moga Allah SWT merahmati beliau dan meletakkan beliau di tempat yang Allah janjikan buat orang-orang mukmin. Semoga Allah menyegerakan kemenangan buat umat Islam di bumi Syam dan dijauhi daripada fitnah-fitnah yang sedang berlaku.

Video ucapan terakhir beliau. Benar-benar menyentuh jiwa.

Wednesday, 20 February 2013

Agama: Pencerahan Surah Al-Mulk (1)



Muqadimah:
Pada penulisan pada kali ini, suka untuk saya kongsikan berkenaan tafsir surah Al-Mulk, saya akan rungkaikan dan perbincangkan akan surah ini serta kesannya dalam membentuk peribadi muslim yang ideal. Penulisan ini berbentuk santai dan bersiri agar pembaca mendapat input positif lantas mampu menpraktiskan dalam alam kehidupan.
Allah SWT menurunkan surah ini kepada Rasulullah SAW melalui Jibril AS sebelum hijrah ke Madinah dan para ulamak sepakat mengkatogerikan surah ini sebagai Makkiyah iaitu surah yang turun sebelum hijrah. Surah-surah yang dikatogerikan sebagai Makkiyah ini mempunyai signifikannya yang tersendiri, berbeza dengan surah-surah yang dikatogerikan sebagai Madaniyah. Ia lebih kepada pembentukkan aqidah dan pembangunan keimanan para sahabat malah mencantas segala pemesongan dalam mentauhidkan Allah SWT berbeza dengan Madaniyah yang lebih berfokus kepada permasalahan hukum-hakam.
Surah ini mempunyai banyak nama selain Al-Mulk yang bermaksud kerajaan, antaranya Mani’ah (Penghalang),  Al-Waqiah (Pelindung), Al-Manna’ah (Penghalang yang benar-benar menghalang), Tabarakalmulk dan sebagainya, pada sisi pandang masyarakat Arab, sesuatu yang mempunyai banyak nama menunjukkan akan kepentinggannya dan kemuliannya. Jika dilihat kepada sejarah nama kepada Abdul Mutolib juga mempunyai banyak nama kerana menunjukkan akan kemuliannya. Maka surah ini yang juga mempunyai pelbagai nama seolah-olah mengkhabarkan manusia akan kepentinggannya dalam kehidupan seharian manusia.
Hadis Berkenaan Surah Ini:
Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang surah ini terutama dari sudut kelebihan membaca serta menghafal surah ini, antaranya:
Hadis yang direkodkan oleh Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya sebuah  surah dalam quran (yang mempunyai) 30 ayat akan mensyafaat pemiliknya sehinggalah ia diampunkan oleh Allah : (تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ).