Wednesday, 20 February 2013

Agama: Pencerahan Surah Al-Mulk (1)



Muqadimah:
Pada penulisan pada kali ini, suka untuk saya kongsikan berkenaan tafsir surah Al-Mulk, saya akan rungkaikan dan perbincangkan akan surah ini serta kesannya dalam membentuk peribadi muslim yang ideal. Penulisan ini berbentuk santai dan bersiri agar pembaca mendapat input positif lantas mampu menpraktiskan dalam alam kehidupan.
Allah SWT menurunkan surah ini kepada Rasulullah SAW melalui Jibril AS sebelum hijrah ke Madinah dan para ulamak sepakat mengkatogerikan surah ini sebagai Makkiyah iaitu surah yang turun sebelum hijrah. Surah-surah yang dikatogerikan sebagai Makkiyah ini mempunyai signifikannya yang tersendiri, berbeza dengan surah-surah yang dikatogerikan sebagai Madaniyah. Ia lebih kepada pembentukkan aqidah dan pembangunan keimanan para sahabat malah mencantas segala pemesongan dalam mentauhidkan Allah SWT berbeza dengan Madaniyah yang lebih berfokus kepada permasalahan hukum-hakam.
Surah ini mempunyai banyak nama selain Al-Mulk yang bermaksud kerajaan, antaranya Mani’ah (Penghalang),  Al-Waqiah (Pelindung), Al-Manna’ah (Penghalang yang benar-benar menghalang), Tabarakalmulk dan sebagainya, pada sisi pandang masyarakat Arab, sesuatu yang mempunyai banyak nama menunjukkan akan kepentinggannya dan kemuliannya. Jika dilihat kepada sejarah nama kepada Abdul Mutolib juga mempunyai banyak nama kerana menunjukkan akan kemuliannya. Maka surah ini yang juga mempunyai pelbagai nama seolah-olah mengkhabarkan manusia akan kepentinggannya dalam kehidupan seharian manusia.
Hadis Berkenaan Surah Ini:
Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang surah ini terutama dari sudut kelebihan membaca serta menghafal surah ini, antaranya:
Hadis yang direkodkan oleh Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya sebuah  surah dalam quran (yang mempunyai) 30 ayat akan mensyafaat pemiliknya sehinggalah ia diampunkan oleh Allah : (تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ).