Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Thursday, 8 March 2012

kerosakan pertama di atas dunia?


                                                     ~gambar hiasan~                                                        


Hasad          
    
Imam Ibnu Qayyim ada menyebutkan dalam tafsirnya dalam merungkaikan makna hasad iaitu merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Sejarah kerosakan pertama yang berlaku disebabkan hasad dalam kalangan manusia:

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
                                                                                                                         (Al-Maidah:30)

Tafsiran:
Ulama menafsirkan ‘orang-orang yang rugi’ dalam ayat ini adalah termasuk orang yang berhasad dengki.

Kisah Habil dan Qabil

Ya… kisah ini sebenarnya telah lama disebutkan di dalam Al-Quran dan itulah kerosakan pertama sebenarnya di atas dunia ini hingga menyebabkan pembunuhan ahli keluarga. Kisah ini bermula apabila Allah mengurniakan kepada Adam dua pasang anak kembar dan kedua-duanya lelaki dan perempuan bagi setiap pasangan iaitu Habil serta pasangan kembarnya Damimah dan Qabil serta pasangan kembarnya Wadiah. Di izinkan Allah kembar Qabil iaitu Wadiah lebih cantik daripada Damimah kembar,Qabil.

Mulanya episod  Allah menguji ketaqwaan hambanya dengan memerintahkan untuk anak-anak nabi Adam berkahwin dengan syarat bukan dengan pasangan kembar masing-masing tetapi dengan pasangan yang berbeza. Qabil membantah apabila perintah Allah itu sampai ke telinganya melalui nabi Adam kerana pasangan kembarnya lebih cantik daripada pasangan kembar Habil. Mulalah bibit hasad dalam hati Qabil.

Seterusnya Allah memerintahkan keduanya untuk melakukan korban. Tetapi Allah menerima korban orang yang benar-benar bertaqwa disisinya iaitu Habil. Tanda-tanda diterima korban itu seperti yang disebutkan oleh Imam Ar-Razi dalam tafsirnya (Tafsir Kabir) adalah Allah menurunkan api daripada langit dan me’makan’ korban tersebut. Pandangan ini mendapat kesepatan ulama’ tafsir akan kesahihannya. Maka  membuak-buak lagi rasa hasad Qabil kepada Habil hingga dia membuat keputusan untuk menghapuskan riwayat Habil yang dirakamkan oleh Allah dalam ayat:

قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.                                                                  
                                                                                                                              (Al-Maidah:27)

Pengajaran:
Begitulah hakikatnya dalam amalan seharian. Setiap perkara kebaikan yang diterima oleh Allah adalah daripada hambanya yang benar-benar bertaqwa.

Pembahagian Hasad dari sudut pandang ulama’:

       1. merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.  
       2. Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.
       3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.

Ulama’ menyebutkan bahawa pembahagian pertama dan kedua adalah dilarang. Tetapi pembahagain ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:

وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
                                                                                                                                  (Al-Mutoffifin:26)

Dan juga seperti yang diriwayatkan dalam Sohih Bukhari:

عبدالله ابن مسعود قال,قال نبي صلى الله عليه وسلم. لا حسد إلا في اثنتين : رجل آتاه الله مالا, وسلطه على هلكته في الحق. ورجل آتاه الله الحكمة. فهو يقضي بها ويعلمها الناس.

Abdullah Ibnu mas’ud ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Ulasan:

Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana para sahabat tidak lokek serta tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.
mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Sebab-sebab yang boleh menghalang perasaan dengki oleh orang lain:

        1.  Berharap Allah menjauhkan diri daripada perbuatan hasadnya
        2. Bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya
        3. Mengosongkan hati dan fikiran dari memikirkannya (bersangka baik)
        4. Menjauhi permusuhan dan bersabar jika dimusuhi
        5.  Mudah memaafkan orang lain
        6. Menerima ujian daripada Allah dan ikhlaskan hati
        7. Membalas keburukan orang lain dengan kebaikan

Secara keseluruhannya, perkara yang paling susah dilakukan oleh manusia adalah perkara yang terakhir. Tetapi sebenarnya itulah hakikat yang nyata yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda kepada ummat.

Cara-cara untuk merawat penyakit hasad itu daripada diri sendiri:

        1.  Mengetahui bahawa segala nikmat daripada Allah
        2. Mengetahui bahawa tidak membawa faedah perasaan ini kecuali lebih banyak keburukan dan sebab hilangnya kebaikan     
        3.  Mengetahui bahawa tidak menghalang nikmat yang Allah berikan kepada sesorang walaupun ada orang dengki dengannya.

Kesan-kesan buruk hasad dengki:

        1.Orang yang memiliki sifat hasad tidak dapat sempurna imannya, sebab ia tidak akan dapat mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.  
        2. Hasad mencegah pemiliknya daripada berbuat kebaikan dan manfaat.
        3. Hasad dapat memecahkan kesatuan, dan persaudaraan kaum muslimin.
        4.Hidupnya tidak pernah tenang dan tenteram. Orang yang hasad selalu dalam keadaan gundah gulana dan resah melihat orang lain lebih darinya.
        5. Menimbulkan sikap egois yang tinggi dan tidak menyukai kebaikan orang lain.


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:

ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم  

Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasihi lagi maha Penyayang.

Rujukan : Qasas Al-Quran Pengajaran dan Ibrah kepada Pendakwah dalam berdakwah oleh Muhammad Bayumi.

Tuesday, 20 December 2011

sifat yang Allah cinta, manusia suka?




ZUHUD

Menjadikan dunia ini hanyalah berada pada tangannya bukan pada hatinya yang membawa maksud beramal menuju akhirat yang menjadi tujuan utama tanpa meninggalkan urusan keduniaan dan berupaya untuk meninggalkannnya jika bertentangan dengan ketaatan kepada Allah.

 Pengertian zuhud mengikut pandangan ulama’:

1.     Hassan Al-Basri: “ jika kita melihat seseorang dan berkata; Dia lebih baik daripada aku”
2.     AzZahri: “tidaklah dia meninggalkan yang haram itu kecuali kerana kesabarannya,dan tidaklah membuat kebaikan kecuali dengan rasa syukur.
3.     Sufyan bin “Uyainah: “jika diberi kenikmatan dia bersyukur, jika diuji dia bersabar”



Antara maksud zuhud yg terdapat dalam:

1.      Al-Qur'an

{ زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ{
(آل عمران:14)

“Telah diperhiaskan manusia cinta kepada perkara perkara yang diingini iaitu perempuan perempuan, anak-anak, emas dan perak yang berpikul pikul, kuda yang baik, binatang-binatang temakan dan sawah ladang, yang demikian itu perhiasan hidup di dunia sedangkan dirinya di sisi Allah tempat kembali yang baik.” Ali-Imran:14

Tafsir ayat:

Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di dunia ini akan pergi dan tidak akan kekal, dan tempat kembali kepada Allah adalah sebaik-baik tempat yang mana tidak fana’ iaitu syurga jika sesiapa yg meninggalkan perkara di atas. Dan didalamnya terdapat orang-orang zuhud di dunia dan bersenang- lenang di akhirat.

2.     As-sunnah

Rasulullah s.a.w. bersabda berkenaan  zuhud:

عن أبي العبّاس سهل بن سعد السّاعديّ رضي اللّه عنه قال: جاء رجل إلى النبيّ ﷺ فقال: يا رسول الله, دلّني على عمل إذا عملته أحبّني الله وأحبّني النّاس. فقال: ازهد في الدّنيا يحبّك الله, ازهد فيما عند النّاس يحبّك النّاس. 

"حديث حسن رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنة"

Terdapat dua wasiat yang amat berharga daripada nabi S.A.W daripada hadis ini:

1.     Zuhud didunia menjadi sebab untuk pemberian kasih sayang Allah kepada hambanya.
2.     Zuhud dalam kalangan manusia menjadi sebab untuk mendapatkan kasih sayang dan penghormatan manusia

* Apabila ALlah menghendaki seseorang itu baik maka dijadikan hidupnya di dunia dengan sifat zuhud dan mengemarkannya kepada akhirat dan mempcrlihatkan kekurangan dirinya. Zuhud ini juga merupakan sifat lawan bagi sifat Al-wahan (cintakan dunia dan takut mati)

Asas Zuhud dan Kepentingannya

Asas zuhud itu bermula dari dalam hati dan ingatan yang patuh kepada akhirat, kemudian timbul kecintaan berhubung dengan ALlah s.w.t. Ingatan hati secara penuh kepada akhirat tidak boleh berlaku kecuali bila seseorang itu hilang ingatan hati kepada keduniaan dan kecenderungan hawa nafsu. Orang yang bertaubat dari dosa sedangkan dia tidak merasa kemanisan taat maka dirinya tidak terjamin aman dari mengulangi perkara yang sama telah dilakukan dan orang yang meninggalkan perkara dunia sedangkan dia tidak merasa kemanisan zuhud maka dia akan kembali pula kepada keduniaan. Sifat ini juga meberi kesan dalam seluruh kehidupan muslim dengan mengambil dunia sekadar keperluan dan mengorbankan selebihnya pada jalan Allah.


Tanda-tanda Zuhud

3 petanda yang digariskan oleh Imam Ghazali iaitu:

1.     Tidak merasa gembira yang berlebihan dengan apa yang dicapai dan tidak merasa dukacita dengan apa yang hilang, tetapi gembira disebabkan diberi nikmat atau tanda syukur. Contoh: zuhud pada harta
2.     Sikap yang sama ketika dipuji atau dikeji. Contohnya: zuhud pada kedudukan dan pangkat.
3.     Sentiasa mendampingi diri dengan Allah kerana hati sering mengingatiNya dan kecintaan kepada Allah melebihi kecintaannya kepada yang lain tanpa meninggalkannya.


Tingkatan-tingkatan Zuhud:

1.     zuhud paling rendah: ialah zuhud daripada perkara-perkara keduniaan yang berlebihan, dan berusaha mengikis sifat kecintaan kepada dunia kerana masih tersisa di dalam hati.
2.     zuhud pertengahan: ialah meninggalkan perkara-perkara keduniaan yang berlebihan kerana ketaatan kepada Allah bagi  mengelakkan diri terhina atas perbuatan itu dan berharap ganjaran yang lebih daripada Allah di atas ketaatannya.
3.     zuhud yang paling tinggi: ialah zuhud yangg hanya bermatlamatkan Allah semata-mata.  Baginya perkara dunia itu tidaklah kecuali keseronokan sementara berbanding nikmat akhirat yang kekal selamanya. Juga tidak terkesan kepadanya dirinya jika dia tidak memperoleh kebahagian dunia melainkan kesejahteraan di akhirat.

Pembahagian ZUHUD

Gabungan pendapat Imam Ahmad, Ibnu Mubarak, dan Ibrahim bin Adham:

1.     Fardu (wajib): Zuhud daripada perkara yang haram dan juga membawa kepada syirik kepada Allah
2.     Afdhol (lebih baik):  zuhud dalam perkara yang halal dan ikhlas dalam beramal kepada Allah tanpa bertujuan keduniaan serta melakukan perkara yang sesuai mengikut syara’ disamping meninggalkanya jika bertentangan
3.     Selamat: zuhud daripada perkara yang syubhah(ragu-ragu)  


Sirah para sahabat mengenai sifat zuhud

Khalid Al-walid seorang panglima tentera yang tekenal dengan kehebatannya bertempur dan menyusun strategi peperangan di zaman awal generasi islam. Bagaimanapun setelah tampuk kuasa khalifah bertukar ke tangan Saidina Umar, beliau menerima surat daripada Khalifah tentang peralihan kuasa yang menyebabkan beliau menyerahkan kedudukan beliau kepada Abu Ubaidah al-Jarrah daripada panglima tentera kepada askar biasa.  Beliau tidak mengeluh sedikitpun atau kecewa bahkan beliau berkata: “aku saling berbunuhan bukan disebabkan Umar tetapi Tuhan Umar”.

Jelas menunjukkan kepada kita di sini bahawa Khalid mempunyai sifat zuhud dengan tidak menjadikan pangkat keduniaan itu sebagai tujuan utama beliau bahkan sanggup meninggalkannya walaupun sebelumnya beliau merupakan seorang panglima tentera yang hebat.

      Rujukan:



1.        حدبث 31 من الوافي في شرح الأربعين النّووية تأليف د. مسطفى ديب البغا و د.محيي الدين مستو
2.        تفسير سورة آل عمران:14 من تفسير حدائق الرّوح  والرّيحان تأليف محمد الأمين بن عبد الله الهريري الشّافعي
3.        كتاب الفقر والزهد من إحياء علوم الدين لحجّة الإمام الغزالي
4.        كتاب فقه السيرة النّبوية مع موجز التاريخ الخلافة الراشدة تأليف د.محمد سعيد الرمضان البوطي