Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Friday, 18 November 2011

Bahaya Syirik!!!



Syirik

Persoalan saya:
Adakah tauhid wujud sebelum adanya syirik atau syirik terlebih dahulu wujud sebelum adanya tauhid dalam sejarah ketamadunan manusia?

الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3)

1.(Allah) Yang Maha pengasih 2.Yang telah mengajarkan Al-Quran 3.Dia menciptakan manusia                              
                                                                                                                  (Surah Ar-Rahman: 1-3)

Daripada ayat dalam surah ini dapat kita peroleh manfaat iaitu Allah menyebutkan terlebih dahulu ayat menyatakan bahawa Dia yang mengajarkan Al-Quran kemudian baru menyebutkan bahawa Dia yang menciptakan manusia. Jelas di sini menunjukkan kepada kita bahawa tauhid itu telah dulu wujud sebelum adanya manusia yang syirik kepadaNya.

Sejarah syirik dalam kehidupan manusia

Sebelum zaman dakwah nabi Nuh A.s telah ada 5 orang soleh yang bertungkus lumus dalam usaha untuk menyeru manusia kembali kepada Allah iaitu wadd, suwa’, yagus, ya’uq dan nasr.(Nuh:23) Setelah beberapa lama mereka meninggal dunia. Bagi mengenang jasa mereka, kaum pada ketika itu mengukir patung peringatan. Tujuannya apabila mereka melihat kepada patung-patung tersebut terbit kesedaran dalam kalangan mereka untuk meneruskan amal islami yang dilakukakan oleh para solihin tersebut. Tetapi bersama peredaran zaman fahaman tersebut telah mula terhakis. Hingga sampai pada zaman nabi Nuh a.s, manusia sudah mula taksub dengan patung tersebut hatta ada yang bertindak menyembah mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka itu, ramai dalam kalangan kaum nabi Nuh berpaling daripada peringatan baginda. Hanya 84 orang sahaja yang beriman dalam jangka masa dakwah selama 950 tahun.

Sejarah syirik dalam kalangan masyarakat arab

Diriwayatkan oleh Ibnu Hisham dalam kitab sirahnya bahawa penyembahan berhala ini berlaku apabila seorang arab yang bernama Amru bin Luhai keluar dari kota  Makkah menuju ke Sham untuk beberapa urusannnya. Apabila dia sampai kesebuah tempat bernama Balqa’ dia bertemu dengan seorang yg bernama A’mliq bin Lawaz bin Sama bin Nuh. Ketika itu A’mliq sedang menyembah berhala dan berkata: “Berhala ni jika kita sembahnya dia akan memberikan kita rezeki”. Lalu dia memberi satu berhala kepada Amru setelah diminta olehnya untuk dibawa pulang kepada kaum arab. Sejak itu orang arab mula menyembah berhala.

Pembahagian syirik dalam Islam

1.      1. Syirik secara terang-terangan (جلي)

Syirik ini adalah syirik yang paling jelas yang mana kita boleh ukur melalui perbuatan seseorang. Contohnya penyembahan berhala,matahari dan lain-lain. Manakala dari segi pengakuan tentang syirik ini dinilai secara zahir dan jatuh hukum syirik. Tetapi ulama’ ada menyebutkan pengakuan ini boleh jadi syirik bagi manusia tetapi tidak bagi Allah mungkin disebabkan dia diseksa dan boleh jadi sebaliknya. Oleh sebab itu segala perkara itu bergantung kepada niat seseorang itu atas setiap perbuatannya. Sesetengah ulama’ berpendapat syirik ini paling bahaya dari syirik tersembunyi dan sesetengahnya tidak. Mengapa?

2.      2.  Syirik secara tersembunyi (خفي)

Syirik ini adalah syirik secara tersembunyi dan syirik inilah sebenarnya yang paling bahaya kerana boleh jadi seseorang itu telah syirik kepada Allah tetapi orang lain atau mungkin diri sendiri tidak tahu. Berbanding dengan syirik secara terang yang kita boleh lihat secara jelas dan dicegah. Tetapi dari segi hukumnya syirik secara terang adalah dosanya lebih berat berbanding syirik tersembunyi.

Syeikh islam Ibnu Taimiyyah membahagikan syirik kecil ini kepada dua pula iaitu:

i-                    نفق : syirik ini(nifaq) adalah bilamana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi  dia mengetahui bahawa dia telah mensyirikkan Allah cuma kadang-kadang terlalai dibawa arus dunia. Contoh syirik ini apabila seorang berasa riya’, u’jub, takabbur (sifat-sifat yang tidak elok yang membawa maksud bangga diri, menunjuk-nunjuk dalam kebaikan) dalam perkara baik yang telah dilakukan. Seseorang dapat mengenalpasti perasaan ini tetapi kekadang terlalai dan orang yang melakukan perbuatan ini digelar munafiq(orang yang bepura-pura dalam kebaikan)

ii-                  سرائر : syirik ini yang membawa maksud rahsia antara yang paling bahaya kerana seseorang itu mensyirikkan Allah tetapi dia tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya telah mensyrikkan Allah. Imam ibnu Taimiyyah ada menyebut lagi tentang 3 keadaan syirik ini:

-apabila seseorang mengharapkan sesuatu lebih dari pengharapannya kepada Allah
-apabila seseorang menyintai sesuatu lebih dari kecintaannya kepada Allah
-apabila seseorang takut kepada sesuatu lebih daripada takutnya kepada Allah

Oleh itu akhir kata marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada dosa syirik ini baik secara tersembunyi lebih-lebih lagi secara terang-terangan dengan doa yang diajar oleh nabi Muhammad S.A.W :

 اللهم إنّا نعوذ بك من أن نشرك بك شيئا نعلمه ونستغفرك لما لا نعلمه
Ya Allah kami berlindung daripada syirik kepadaMu dengan sesuatu perkara yang kami ketahui, dan kami memohon ampun kepada Mu daripada perkara yang tidak kami ketahui.

Friday, 14 October 2011

Ciri-ciri Aqidah Islamiyah



       Apabila kita menyebut tentang ciri-ciri sesuatu agama maka perlu difahami bahawa ciri-ciri yang terdapat pada setiap agama itulah yang membezakan dengan sesuatu yang lain. Maka kita dapat rumuskan bahawa ciri-ciri yang terdapat dalam Aqidah Islamiyah membezakannya dengan aqidah-aqidah yang lain. Antara ciri-ciri yang telah dibahaskan seperti:

     1. Tauqifiyah(terhenti)

     Tauqifiyah bermaksud tiada ruang untuk berijtihad atau tiada ruang untuk ditambah atau dikurangkan dan tiada ruang untuk diubah atau digantikan kerana aqidah ini bersumberkan rabbani atau wahyu daripada Illahi.
Ciri ini membezakan antara Aqidah Islamiyah dengan Aqidah penyembah berhala, mereka menggunakan akal dalam mencipta tuhan mereka maka jadilah tuhan mereka sepertimana yang mereka mahukan. Berbeza dengan islam yang diajar menerima dan meyakini apa yang disampaikan oleh Allah melalui Rasulnya sama ada Al-Quran atau Assunnah tanpa sedikit keraguan. Bukanlah beerti kita menolak penggunaan akal tetapi akal manusia mempunyai had yang tertentu sehingga beberapa perkara tidak tercapai pada akal, jika manusia menggunakan akal maka jadilah tuhan-tuhan baru yang berlawanan akal dan menyeleweng.


       Aqidah Islamiyah juga berbeza dengan aqidah samawiyah yang lain seperti (Yahudi dan Kristian) dari sudut ini.Aqidah Samawiyah pada asalnya murni dari sebarang tokok tambah akal tetapi disebabkan ulama’-ulama’ dunia mereka mengubah agama itu sesuai dengan akal dan nafsu mereka sehingga merosakan aqidah yang murni itu. Maka ciri ini merupakan ciri yang dominan dalam menjaga kesucian Islam dan membezakan aqidah-aqidah yang lain.

Firman Allah:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم

” Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.”
                                                                                                                                           (AsSyura:52)


~terhenti~

   2. Ghoibiyyah (Sesuatu yang ghaib)

            Ciri yang kedua ialah Aqidah Islamiyah ini merupakan perkara ghaib, tidak mampu tercapai oleh pancainderamanusia, mahupun mata kasar insan tetapi setiap umat islam wajib beriman dengan Allah, malaikat, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, Hari Pembalasan dan Qada dan Qadar, dan semua ini merupakan perkara ghaib yang wajib diyakini oleh seorang mukmin, selaras dengan firman Allah:


ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْب(3)..

“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa(yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib….”
                                                                                                                                     (Al-Baqarah:2-3)

      Ciri ghaib ini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan akal, malah akal yang sihat mampu menerimanya, bukanlah sesuatu yang tidak terlihat itusesuatu yang tidak wujud malah wujud, misalnya udara yang kita sedut setiap hari, ada sesiapa yang menafikan kewujudannya walau tidak terlihat oleh pancaindera?? Hal ini berbeza dengan golongan pemikiran realistik, mereka mengingikari wujudnya perkara ghaib dan hanya menyakini sesuatu yang dapat dilihat melalui pancaindera sahaja.



~Angin bertiup tetapi tiada kelihatan tapi tetap yakin akan kewujudan~

    3. Syumul

              Ciri yang ketiga pula ialah Aqidah Islamiyah ini bersifat syumul ( bersifat menyeluruh dan tidak meninggalkan satu aspek pun dalam kehidupan manusia sama ada dari aspek peribadi,masyarakat atau alam sejagat.)

          Aqidah islamiyah menyeluruh dalam 3 aspek utama iaitu:

i- Ibadah yang sempurna
ii- Hubungan manusia dengan makhluk dan sesama manusia
iii- Perkaitan antara dunia dan akhirat
i
         Menyeluruh dari sudut ibadah yang mencakupi 4 ibadah utama:

            i- Hati seperti pengharapan, tawakkal, ketakutan kepada Allah 
            ii- Percakapan seperti memberi nasihat, berzikir, membaca Al-Quran
            iii- Perbuatan seperti solat, puasa, haji
            iv- Harta seperti zakat, sedekah.

             Menyeluruh dari sudut hubungan manusia bukan sahaja dengan Allah bahkan sesama manusia, dan juga kehidupan lain. Menyeluruh dari sudut perkaitan antara dunia dan akhirat iaitu akan merangkumi kehidupan manusia ini sama ada kehidupan di dunia, seterusnya di alam kubur, dan seterusnya kehidupan akhirat selepas dibangkitkan. Al-Quran pula telah diturunkan bagi menerangkan tentang kehidupan manusia secara menyeluruh.

       Syumul juga membawa erti menyenangkn fitrah manusia kerana tidak ditaklifkn kesulitan (memudahkan) dan tidak ada perpecahan di dalamnya. Seterusnya keubudian kepada Allah juga bukanlah hanya dalam ibadah fardiyah atau amalan akhirat sahaja bahkan meliputi kesemua aspek langit dan bumi, ghaib dan nyata, dan dalam setiap langkah perbuatan dan sebagainya.

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَهٌ وَفِي الأرْضِ إِلَهٌ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيم
“Dan dialah Tuhan yang disembah di langit dan Tuhan yang disembah di bumi, dan dialah yang Maha bijaksana dan Maha mengetahui…”
                                                                                                                              ( Az-zukhruf :84)



~Tiada sesuatu pn yang tertinggal~

    4. Mutakamil

      Ciri yang seterusnya ialah mutakamil iaitu lengkap dengan aqidah islamiyah terikat antara satu sama lain. Contohnya seseorang itu tidak akan dapat beriman kepada kitab Allah jika dia tidak meyakini bahawa rasul-rasul yang diutuskan adalah untuk membenarkan kalam Allah itu.
Aqidah islamiyah ini juga telah lengkap(mutakamil) dan menyeluruh(syumul) tetapi terhad(taufiqiyah). Jadi, jika seseorang itu menolak salah satu dari rukun iman(aqidah) maka bererti dia telah menafikan yang lainnya.

      Aqidah dan iman ini berkait rapat antara satu sama lain dalam aspek ibadat dan muamalat yang terkandung dalamnya hukum-hukum syariat, amalan dan akhlak. Jadi keimanan yang kukuh kepada Allah amat penting kerana semua pensyariatan ini tergabung dibawah rukun ini.Selain itu aqidah juga lengkap dari setiap segi sama ada pemikiran+ iman dan iman + amal yang mana keduanya saling menguatkan antara satu dengan yang lain.

       Asas kepada pemikiran diniyah yang terpelihara dan berkembang ialah aqal dan hati. Jadi fikrah(pemikiran) islamiyah yang betul dapat mempertahankan segala kandungan yang terdapat di dalam aqidah itu sendiri. Tambahan fikrah ini juga, perlu kepada iman dan aqidah yang dapat memandu amalan secara khusus serta urgensi untuk melaksanakannya.

        Aqidah juga merupakan fitrah manusia tetapi bagi yang cuba melawan fitrah ini akan merasa resah dan gelisah kerana itu adalah ketetapan Allah disamping merupakan petunjuk yang legkap antara rohani dan zahir dalam kehidupan manusia. Akhir sekali kehidupan jasadiah manusia dan kehidupan peradaban(kerohanian) scara keselruhan tidak akan berlaku ‘tanaqud’(perselisihan) kerana ia menyerupai fitrah yang melengkapi kehidupan manusia.

~Keterikatan antara satu sama lain~
   5. Tawazun

        Ciri terakhir ialah Tawazun yang membawa erti Wasotiyah (pertengahan) dan juga bersederhana. Hal ini bereerti Aqidah Islamiyah tidak memberatkan sebahagian sudut dan meringankan sudut yang lain sehingga membuatkannya berbeza dengan Aqidah Fasidah yang lain.
     Kesederhanaan dalam pertimbangan mengikut hikmah Rabbaniyah iaitu penetapan dalam nisbah antara kehidupan dengan nilainya seperti:

    i- Harta dan kesenangan
   ii- Amalan dan aqal
   iii- Ilmu pengetahuan dan kekuatan
   iv- Ibadah dan apa yang berkaitan dengannya
   v- Sifat perkauman dan sifat kemanusian

      Islam menjadikan semua susunan ini sesuai dengan nisbahnya tidak kuran atau sebaliknya. Jika kita lihat bagaimana aqidah fasidah yang lain mereka menghalang para rahib mereka daripada berkahwin dan hanya berfokus pada ibadah kerohanian sahaja. Hal ini bertentangan dengan fitrah manusia, tidak terlalu memberatkan dalam aspek ibadah sehingga tidak berkahwin dan sebagainya kerana konsep ibadah dalam islam itu sebenarnya luas. Setiap yang dilakukan adlah ibadah tetapi bergantung kepada niat seseorang itu.
        Bagi agama yahudi dan nasrani pula mereka mempertuhankan nafsu mereka dan memperhambakan wahyu dalam menetapkan hukum agar selari degang kehendak mereka.

“Tawazunlah(seimbang) dalam asas pengetahuan antara wahyu dan aqal, antara iman dengan ketentuan dan pengambilan asbab, antara dunia dan amalan akhirat, antara pendirian materialistik dan pendirian ma’nawi.”

                                                                                               (Manhaj Tarbiyah Islamiyah -Syed Qutb- )

~Keseimbangan~

Wednesday, 12 October 2011

Manhaj-manhaj dalam AQIDAH


Terdapat dua madrasah atau manhaj dalam aqidah, pertamanya MADRASAH NASSIAH (مدرسة نصية) atau golongan hanabilah, ia juga terkenal dengan panggilan salaf. Manhaj kedua ialah MADRASAH AQLIAH (مدرسة عقلية) atau golongan mutakalimin, ia juga  terkenal dengan panggilan khalaf.

Kumpulan-kumpulan Aqidah AHLI SUNNAH WAL JAMAAH


Kumupulan Pertama: Hanabilah

Manhaj ini  mula dinisbahkan sewaktu zaman Imam Ahmad Bin Hanbal RA (Mazhab Hanbali). Nama sebenar beliau ialah Abu Abdillah Bin Mohammad Bin Hanbal AsSyaibani RA. Beliau dilahirkan pada tahun 64 H dan wafat pada 241 H. Pada waktu tersebut umat Islam telah mula berpecah dari sudut pemahaman mereka tentang ilmu aqidah. Imam Ahmad Hanbal pernah dipenjara kerana beliau dipaksa untuk mengakui bahawa AlQuran itu merupakan makhluk tetapi beliau tetap teguh dengan pendiriannya.

Pengikut-pengikut beliau dikenali sebagai Hanabilah. Golongan ini kurang bersetuju dengan penggunaan akal dalam mengitsbatkan (memutuskan)  sesuatu masalah aqidah, mereka lebih berpegang kepada dengan AlQuran dan Sunnah AsSohihah. Antara manhaj mereka berkenaan dengan ayat-ayat mutasyabihat adalah lebih pada tafwidh (serah: menyerah makna dan kaifiyatnya kepada Allah SWT) dan terdapat juga manhaj lain yang cenderung untuk menggunakan takwil dalam permasalahan ini.

Sebagai contoh, pada ayat
يد الله فوق أيديهم
mereka lebih cenderung untuk mengitsbatkan يد  sebagai tangan yang layak bagi Allah SWT dan tidak sama sekali menyerupai makhluk.

Kumpulan Kedua: Asya'irah

Manhaj AlAsya'irah diasaskan oleh Imam Abu AlHassan Ali Bin Ismail AlAsya'iri RA , datuknya merupakan sahabat Rasulullah SAW iaitu Abdullah Abu Musa AlAsya'iri. Perbezaan zaman antara Abu Hassan dengan datuknya Abu Musa ialah seramai 4 orang ayah. Beliau dilahirkan pada 260H di Basrah dan wafat pada 324H dan beliau bermazhab syafie. Beliau pernah berguru dengan seorang syeikh muktazilah iaitu Abu Ali AlJubbai'e dalam mempelajari ilmu aqidah. kemudian beliau berselisih pendapat dengan gurunya lalu mengisytiharkan keluar dari muktazilah. Selepas dari peristiwa tersebut beliau mengasaskan manhaj ini.

Antara manhajnya dalam masalah mentafsir ayat-ayat mutasyabihat ialah dengan mentakwil (mencari makna lain yang sesuai dengan sesuatu lafaz berdasarkan kaedah bahasa arab). Kaedah ini dipakai oleh sebahagian pengikutnya kerana ada juga pengikut dalam kalangan mazhab atau manhaj ini tidak mentakwil ayat-ayat mutasyabihat.
Contoh ayat di atas, mereka mentakwil kalimah يد kepada Qudrat. Kaedah ini terhasil berdasarkan ilmu bahasa arab dan qawaidnya (kaedahnya). Tujuan mereka mentakwil ayat-ayat mutasyabihat ini untuk mensucikan Allah SWT dari persamaan  dengan makhluk.

Kumpulan Ketiga: Maturudiyah

Manhaj ini diasaskan oleh Imam Abu Mansur Muhammad Bin Muhammad Bin Mahmud AlMaturidi RA. Beliau wafat pada 333H selepas wafatnya Abu Hassan dan belaiu bermazhab hanafi.  Manhaj ini disusun bagi memantapkan lagi manhaj yang telah dibina oleh Imam Abu Hassan AlAsya'iri.

Antara manhajnya dalam masalah ayat-ayat mutasyabihat sama seperti manhaj AlAsya'iriyah iaitu dengan mentakwil. Manhaj ini banyak kesamaan dengan manhaj Asya'iriyah cuma berbeza dalam beberapa permasalahan seperti makna Qada' dan Qadar.

Wallahualam.

* Ayat-ayat mutasyabihat bermaksud kalimah pada ayat sifat yang terdapat dalam AlQuran mahupun hadits yang membawa maksud yang tidak layak bagi Allah SWT pada zahir lafaz.

Monday, 10 October 2011

قواعد العقائد


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sedikit perkongsian ilmu.

Allah telah mencipta manusia dengan mempunyai akal. Secara fitrahnya manusia dicipta untuk mempunyai tuhan atau pencipta dan kemudian mempercayai kewujudannya sama ada dia beriktikad bahawa tuhannya adalah Allah ataupun benda-benda yang lain. Ilmu yang ingin saya kongsi ialah قواعد العقائد yang bermaksud kaedah (konsep) beriktikad. Kaedah ini menerangkan tentang konsep akal serta menunjukkan cara-cara akal yang sihat boleh menerima kewujudan Allah سبحانه وتعالى sebagai tuhan dan kewujudan perkara-perkara ghaib.




1. Konsep pertama : Seseorang tidak boleh meragui kewujudan sesuatu benda/perkara yang dapat dirasa melalui pancainderanya.

Sebagai contoh, seorang lelaki yang sedang berada di sebuah taman rekreasi tidak boleh meragui kewujudan sebuah pokok yang telah dilihatnya melalui kedua-dua belah matanya.

pokok



2. Konsep kedua : Seseorang tidak boleh meragui perkhabaran tentang suatu perkara/benda yang dirasakan melalui penglihatan penyampai khabar tersebut yang diyakini akan kejujuran  yang ada pada penyampai tersebut. 

Sebagai contoh, bolehkah kita mempertikaikan kewujudan (kehidupan) Raja Shah Jahan (raja yang membina Taj Mahal di India sewaktu Empayar Mughal) yang hidup pada empat kurun  lepas? Adakah kita perlu melihatnya terlebih dahulu untuk mempercayai kewujudannya? Semestinya kita perlu mempercayai kewujudannya.



3. Konsep ketiga : Seseorang tidak boleh mengingkari kewujudan sesuatu yang tidak boleh dirasakan melalui pancainderanya. 

~gambar yang tidak seberapa~


Sebagai contoh, pada zaman dahulu, terdapat seorang pengintip dari negeri A datang ke negeri B. Dia ditugaskan untuk mengintip tentang keadaan dan gambaran tentang negeri B. Tetapi, dia tidak pernah datang ke negeri B walau sekalipun dalam hidupnya. Ketika menghampiri negeri B, dia ditangkap oleh penjaga sempadan negeri B. Dia ditangkap dan ditutup matanya sehingga dibuka semula di dalam penjara. Penjaranya terletak di puncak sebuah kubu dan hanya terdapat sebuah tingkap sahaja. Daripada tingkap tersebut dia hanya mampu melihat dua buah rumah, sebatang sungai dan empat batang pokok sahaja. Persoalannya disini, adakah objek yang dilihat melalui matanya cukup untuk memberikan gambaran tentang negeri B? Semestinya tidak.

Begitulah akal manusia. Analoginya mudah; kubu tersebut menjadi badan manusia, manakala tingkap pula menjadi mata dan penjara menjadi akal manusia yang terbatas.

soalan saya :

ADAKAH PANCAINDERA MANUSIA CUKUP SEMPURNA?



4. Konsep keempat : Manusia tidak akan boleh berkhayal/berimaginasi tentang sesuatu yang tidak pernah dirasai oleh pancainderanya. imaginasi manusia terbahagi kepada dua jenis. 

Pertama, khayal murji' (خيال مرجع). khayal murji' ialah sejenis imaginasi manusia tentang perkara yang pernah pernah dilihatnya melalui mata ataupun pernah dirasa melalui pancaindera lain. Sebagai contoh, seseorang yang pernah melakukan ibadah umrah pada lima tahun lepas mampu berimaginasi tentang keadaan, gambaran dan suasana tentang tempat tersebut sebagaimana yang pernah dilihat dan dirasanya dahulu.

Kedua, khayal mubdi' (خيال مبدع). khayal mubdi' pula ialah sejenis imaginasi yang direka akal manusia dengan berpaksikan sesuatu yang pernah dirasakan melalui pancaindera. Sebagai contoh, pelukis kartun jepun yang terkenal, Akira Toriyama mencipta (melukis) watak Cell berdasarkan sesuatu yang pernah dilihatnya iaitu lipas. Kemudian, ciri-ciri yang ada pada lipas tersebut digabungkan dengan sifat fizikal manusia dan seterusnya diubah-ubah sehingga dirasakan sempurna.

Cell



soalan saya :

MAMPUKAH MANUSIA BERIMAGINASI TENTANG RUPA ALLAH?



5. Konsep kelima : Akal manusia tidak boleh berfungsi/berimaginasi tanpa berlandaskan kepada masa dan/atau tempat.

Sebagai contoh, cuba anda bayangkan sebuah padang pasir yang besar dan kecil dalam masa, waktu dan detik yang sama. Semestinya tidak boleh.


soalan saya :

MAMPUKAH MANUSIA BERIMAGINASI TENTANG KEADAAN ALLAH ;
YANG MAHA BESAR,
DAN PADA MASA YANG SAMA 
SANGAT MENGETAHUI TENTANG SEKECIL-KECIL PERKARA
YANG TIDAK DIKETAHUI MANUSIA?



6. Konsep keenam : Kepercayaan tentang kewujudan tuhan adalah fitrah yang wujud dalam diri setiap makhluk termasuk manusia.

Majalah Reader's Digest pernah menyiarkan tentang suatu peristiwa yang pernah berlaku pada zaman perang dunia pertama (kalau tidak silap) tentang kaedah keenam ini. Kisah ini berlaku terhadap seorang tentera jerman. Dia merupakan seorang atheis dan tidak pernah mengenali apa-apa jenis agama sepanjang kehidupannya. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak pernah menyebut tentang agama. Malah, dia juga belajar di sekolah yang sedemikian. 

Negara Jerman merupakan negara pertama dalam sejarah peperangan yang melakukan strategi menghantar tentera dari udara melalui payung udara. Ketika tiba hari peperangan tersebut, dia merupakan orang pertama yang diarahkan untuk terjun. 



Dalam perasaan risau dan takut, dia terjun dari ketinggian yang melebihi 1000 kaki. Ketika terjun, sebelum membuka payung terjunnya, dia tersebut perkataan "Ya Allah" dalam perasaan gundah gulana tersebut secara tidak sengaja. Akhirnya dia berjaya mendarat dengan selamat tetapi dia terdiam selama beberapa minit. Dia bermonolog kepada dirinya "mengapa aku menyebut perkataan itu? Bagaimana aku boleh menyebut sebegitu". Setelah beberapa tahun, dia telah mempercayai tentang kewujudan tuhan rentetan daripada peristiwa tersebut. Tetapi sayangnya, agama yang dipilihnya ialah Kristian.



7. Konsep ketujuh : Perasaan manusia bahawa alam yang didiaminya sekarang ini tidak kekal, serta kepercayaan kewujudan alam yang lain selepas kematian yang tidak diketahuinya merupakan naluri yang wujud dalam diri setiap insan.

Sebagai contoh keadaan, apabila seorang lelaki yang hidup senang lenang bersama-sama isterinya ditimpa musibah seperti  tanah runtuh yang meranapkan rumahnya serta mengorbankan nyawa isterinya. Dalam beberapa ketika, dia akan berfikir bahawa perkara yang dimilikinya sebentar tadi tidak kekal selama-lamanya. akan terlintas di dalam fikirannya tentang beberapa persoalan, "dimanakah isteriku berada selepas ini? Mustahil dia meninggal dunia begitu sahaja."

soalan saya :

ADAKAH LOGIK APABILA KEHIDUPAN MANUSIA TAMAT
BEGITU SAHAJA TANPA BERLAKU SEBARANG 
KEADAAN YANG BERIKUTNYA SEOLAH-OLAH 
KEHIDUPAN MANUSIA DI DUNIA SIA-SIA & TIDAK 
MENDATANGKAN SEBARANG FAEDAH?



8. Konsep kelapan : Kepercayaan manusia terhadap kewujudan Allah menjurus kepada kepercayaan tentang kewujudan kehidupan di alam akhirat dan balasan bagi setiap perbuatan yang dilakukan manusia ketika hidup di dunia. 

Konsep kelapan mempunyai sedikit-sebanyak perkaitan dengan konsep yang ketujuh. Bezanya ialah, konsep ketujuh  berlaku kepada setiap manusia tetapi konsep kelapan hanya berlaku kepada individu yang mempercayai kewujudan allah. hal ini demikian kerana, jika tiada kehidupan dunia akhirat, maka sia-sialah penciptaan dunia ini. Malah, mereka yang mempercayai kewujudan Allah akan meyakini konsep balasan terhadap setiap amalan; amalan yang baik akan dibalas dengan syurga manakala amalan yang jahat akan dibalas dengan neraka.


والله تعالى أعلم