Berikut adalah respons saya dari sudut ilmiah terhadap beberapa kenyataan Irsyad
Manji ketika beliau di wawancara seperti yang disiarkan di Malaysiakini
bertarikh 22 Mei 2012.
Manji mengatakan:
Menurutnya, Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa
setiap manusia adalah ciptaan Tuhan dan ia termasuklah golongan tersebut.
"Kembali kepada Al-Quran, setiap orang adalah
ciptaan Tuhan. Malahan gay dan lesbian juga dicipta Tuhan...
Respons saya:
Saya akui kenyataan mengenai setiap manusia diciptakan Tuhan termasuk golongan ini adalah benar berdasarkan dalil surah
Al-Hujurat:13. cuma pada hemat saya ada beberapa perkara perlu diberi penekanan:
Secara keselurahannya kita
WAJIB mengimani bahawa Allah yang menciptakan setiap kebaikan di atas dunia ini
dan juga keburukan yang berlaku kerana setiap perkara yang berlaku di atas
dunia adalah berdasarkan sifat ‘Kehendak Allah dan KudratNya’ dan Ilmu Allah
lebih luas dan Dia Maha mengetahui apa yang kita buat. Cuma sebagai hamba kita
tidak menisbahkan keburukan kepada Tuan kita kerana ia berlaku atas pilihan
sesorang itu sendiri dan hanya golongan seperti Syiah Zaidiyah dan Mu’tazilah yang
berpegang kepada kepercayaan ‘Usul 5 ’sahaja menolak keburukan itu
datang dari Allah.
saya cuba bagi satu analogi:
Seorang ibu melarang anak kecil berusia 5 tahun bermain di atas
tangga kerana ibu ini telah mempunyai ilmu bahawa tempat itu berbahaya. Tetapi terpulang
kepada si anak untuk tetap bemain di situ atau pun tidak.
Lebih-lebih lagilah ilmu Allah Yang Maha Luas. Dia menciptakan setiap
perkara itu ada baik ada buruk. Dia menyuruh buat yang baik dan tinggalkan
keburukan dan memberi pilihan kepada manusia dalam perkara ini dengan mengemukan ganjaran dan azab setimpal atas perbuatan manusia itu sendiri.
Jadi saya menyifatkan kenyataan Manji adalah benar pada akarnya kerana kebaikan dan
keburukan diciptakanNya. Tapi dari sudut konteks pemahaman penciptaan golongan seperti ini tidak tepat kerana golongan LGBT memang dicipta olehNya tetapi larangan untuk mengikuti fahaman golongan tersebut juga disebutkan di dalam Al-Quran yang akan saya jelaskan dibawah.
Kata Manji lagi:
Tambahnya, konsep kononnya Islam menolak dan membenci
golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang
Maha Penyayang.
Respons saya:
Saya yakin Manji percaya kepada Al-Quran, cuma
beberapa penafsiran daripada beliau kurang tepat. Kenyataan ini adalah salah
kerana Allah telah merakamkan kisah yang berlaku kepada kaum nabi Lut akibat perbuatan songsang yang mereka lakukan:
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata
kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak
pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu
dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui
batas". (Al-A’raf 80-81)
Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa
golongan ini adalah golongan yang keji dan melampaui batas. Allah juga menunjukkan
kekuasaanNya dengan menghantar azab yang pedih bagi mereka ini kerana tindakan
mereka yang melanggar fitrah itu. Firman Allah:
Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami
jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka
buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar,
menimpanya bertalu-talu. (Hud:82)
Ayat ini merakamkan kisah tersebut di mana Allah membalikkan
bumi ini sesuai dengan perbuatan songsang mereka yang tempat itu dikenali
sebagai Laut Mati. Jadi adakah Allah tidak murka kepada golongan ini selepas
mereka membuat kerosakan?
 |
| ~Laut Mati~ |
Manji mempertikaikan lagi bahawa jika golongan ini dibenci,
maka ia bertentangan dengan sifat kasih sayang Allah. Bukankah Allah Maha Penyayang?
Kasih sayang Allah itu maha luas hingga kepada binatang,
alam dan sebagainya apatah lagi manusia walaupun segelintir yang bermaksiat
kepadaNya kerana kasih sayang Allah kita boleh lihat lebih dekat jika kita memahami sifatNya sendiri:
Ar-Rahman: yang membawa maksud kasihNya terhadap seluruh manusia meskipun
derhaka dengan mengurnakan rezeki berbentuk harta, keluarga dan sebagainya.
Ar-Rahim: yang membawakan maksud sayang Allah dan Dia
memuliakan orang yang beriman kepadaNya dan memberi pertolongan yang khusus
terutama dalam menyebarkan agamaNya.
Sifat-sifat ini menjelaskan kasih sayang Allah itu tiada
tandingan kepada seluruh makhluknya. Cuma dalam perkara yang bertentangan
dengan perintahNya, Allah juga melarang sekeras-kerasnya untuk manusia melakukannya seperti mana kisah yang saya sebutkan di atas. Hal ini juga tidak menafikan kasih-sayangNya terhadap manusia kerana Mahasuci Allah mempunyai pelbagai sifat dan segala sifat-sifat ini menunjukkan bahawa Allah itu sempurna.
Dalam situasi ini (fahaman LGBT), apabila kita melihat dari
sudut yang lain, Allah menunjukkan kasih sayangNya dengan mengharamkan perkara
ini dengan memberi rahmatNya melalui perkahwinan yang sempurna dan bertepatan dengan syara’ kerana bukankah ia akan mengembangkan generasi akan datang?
Firman Allah:
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang
telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan
daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan
dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. (An-Nisaa'
4:1)
Dalam bahagian ‘tidak perlu minta maaf’ daripada artikel
tersebut saya ada beberapa hujah yang saya ingin kemukan antaranya:
Manji mengatakan bahawa dibolehkan perkahwinan antara muslim
dan non-muslim dengan tidak perlu menukarkan agama. Malah beliau menyeru
anak muda untuk berbuat demikian. Tambah Manji lagi, ada seorang Imam bernama Dr
Khaleel Mohamed yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam perundangan Islam
dari McGill University turut menyokong pendirianNya tersebut.
Hujah saya:
Saya juga mendokong pendapat Manji ini dengan mengkhususkan
perkahwinan tanpa perlu menukar agama kerana di dalam Islam sendiri seseorang
muslim itu dibolehkan berkahwin dengan perempuan ahli kitab (bukan musyrik dan muslim)
meskipun dia tidak menukarkan agamanya. Berlainannya perkara ini bagi perempuan
tidak dibenarkan atas sebab jika lelaki muslim dia akan menjadi ketua keluarga dan
tidak dapat tidak si isteri perlu taat kepada suami dan jika perkara itu
berlaku ke atas perempuan muslim yang berkahwin dengan lelaki ahli kitab maka
ia akan menjadi bebanan. Perkara ini disebutkan oleh Allah dalam firmanNYA:
Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan
yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan
juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang
yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka
maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina,
dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.
(Al-Maidah 5:5)
Perkara ini berlainan pula jika seorang lelaki dan perempuan
yang ingin berkahwin dengan pasangan mereka yang bukan islam yang musyrik
berdasarkan firman Allah:
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya
seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir
musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan
perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka
beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang
beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya
menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak
ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya.
(Al-Baqarah:221)
Jadi berdasarkan hujah saya ini jika pendapat Manji itu
adalah berkenaan dengan ahli kitab maka saya turut menerimanya. Berlainan pula
jika Manji bermaksudkan perkara ini secara am (ahli kitab dan musyrik) maka
saya sependapat dengan mereka yang menentang fahaman ini.
Dalam bahagian 'kerjasama pelampau-polis mengejutkan’ dalam
artikel ini, suka saya kongsikan pendapat kritis dari rakan saya Ahmad Hidayat Hasni dalam
artikel beliau dalam bahagian ‘Batas Kebebasan’ yang disiarkan di Malaysiakini
pada hari ini bertarikh 23/5/2012.
1. Qasas Al-Quran oleh Dr Muhammad Bayumi dalam bab Kisah Nabi Lut a.s
2. Aqidah Tahawiyah oleh Abu Jaa'far At-Tahawi dalam bab Pegangan Mu'tazilah
3. Pembelajaran Tentang Pecahan Kumpulan dalam Sejarah Islam Syiah dan Khawarij oleh Dr Ahmad Muhammad Jali dalam bab Syiah Zaidiyah
4. Qanun Ahwal Syakhsiyah Urduni oleh Dr Sulaiman Al-Asyqar dalam bab pernikahan dengan ahli kitab
5. Mushaf Al-Burhan
6. Akhbar Malaysiakini online bertarikh 22 dan 23 Mei 2012