Wednesday, 23 May 2012

Isu Semasa: Respons terhadap kenyataan Irsyad Manji


Berikut adalah respons saya dari sudut ilmiah terhadap beberapa kenyataan Irsyad Manji ketika beliau di wawancara seperti yang disiarkan di Malaysiakini bertarikh 22 Mei 2012.


Manji mengatakan:

Menurutnya, Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa setiap manusia adalah ciptaan Tuhan dan ia termasuklah golongan tersebut.

"Kembali kepada Al-Quran, setiap orang adalah ciptaan Tuhan. Malahan gay dan lesbian juga dicipta Tuhan...

Respons saya:

Saya akui kenyataan mengenai setiap manusia diciptakan Tuhan termasuk golongan ini adalah benar berdasarkan dalil surah Al-Hujurat:13. cuma pada hemat saya ada beberapa perkara perlu diberi penekanan:

Secara keselurahannya kita WAJIB mengimani bahawa Allah yang menciptakan setiap kebaikan di atas dunia ini dan juga keburukan yang berlaku kerana setiap perkara yang berlaku di atas dunia adalah berdasarkan sifat ‘Kehendak Allah dan KudratNya’ dan Ilmu Allah lebih luas dan Dia Maha mengetahui apa yang kita buat. Cuma sebagai hamba kita tidak menisbahkan keburukan kepada Tuan kita kerana ia berlaku atas pilihan sesorang itu sendiri dan hanya golongan seperti Syiah Zaidiyah dan Mu’tazilah yang berpegang kepada kepercayaan ‘Usul 5 ’sahaja menolak keburukan itu datang dari Allah.

saya cuba bagi satu analogi:

Seorang ibu melarang anak kecil berusia 5 tahun bermain di atas tangga kerana ibu ini telah mempunyai ilmu bahawa tempat itu berbahaya. Tetapi terpulang kepada si anak untuk tetap bemain di situ atau pun tidak.

Lebih-lebih lagilah ilmu Allah Yang Maha Luas. Dia menciptakan setiap perkara itu ada baik ada buruk. Dia menyuruh buat yang baik dan tinggalkan keburukan dan memberi pilihan kepada manusia dalam perkara ini dengan mengemukan ganjaran dan azab setimpal atas perbuatan manusia itu sendiri.

Jadi saya menyifatkan kenyataan Manji adalah benar pada akarnya kerana kebaikan dan keburukan diciptakanNya. Tapi dari sudut konteks pemahaman penciptaan golongan seperti ini tidak tepat kerana  golongan LGBT memang dicipta olehNya tetapi larangan untuk mengikuti fahaman golongan tersebut juga disebutkan di dalam Al-Quran yang akan saya jelaskan dibawah. 

Kata Manji lagi:

Tambahnya, konsep kononnya Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang.

Respons saya:

Saya yakin Manji percaya kepada Al-Quran, cuma beberapa penafsiran daripada beliau kurang tepat. Kenyataan ini adalah salah kerana Allah telah merakamkan kisah yang berlaku kepada kaum nabi Lut akibat perbuatan songsang yang mereka lakukan:

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas"
. (Al-A’raf 80-81)

Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa golongan ini adalah golongan yang keji dan melampaui batas. Allah juga menunjukkan kekuasaanNya dengan menghantar azab yang pedih bagi mereka ini kerana tindakan mereka yang melanggar fitrah itu. Firman Allah:

Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. (Hud:82)

Ayat ini merakamkan kisah tersebut di mana Allah membalikkan bumi ini sesuai dengan perbuatan songsang mereka yang tempat itu dikenali sebagai Laut Mati. Jadi adakah Allah tidak murka kepada golongan ini selepas mereka membuat kerosakan? 




~Laut Mati~

Manji mempertikaikan lagi bahawa jika golongan ini dibenci, maka ia bertentangan dengan sifat kasih sayang Allah. Bukankah Allah Maha Penyayang?

Kasih sayang Allah itu maha luas hingga kepada binatang, alam dan sebagainya apatah lagi manusia walaupun segelintir yang bermaksiat kepadaNya kerana kasih sayang Allah kita boleh lihat lebih dekat jika kita memahami sifatNya sendiri:

Ar-Rahman: yang membawa maksud kasihNya terhadap seluruh manusia meskipun derhaka dengan mengurnakan rezeki berbentuk harta, keluarga dan sebagainya.

Ar-Rahim: yang membawakan maksud sayang Allah dan Dia memuliakan orang yang beriman kepadaNya dan memberi pertolongan yang khusus terutama dalam menyebarkan agamaNya.

Sifat-sifat ini menjelaskan kasih sayang Allah itu tiada tandingan kepada seluruh makhluknya. Cuma dalam perkara yang bertentangan dengan perintahNya, Allah juga melarang sekeras-kerasnya untuk manusia melakukannya seperti mana kisah yang saya sebutkan di atas. Hal ini juga tidak menafikan kasih-sayangNya terhadap manusia kerana Mahasuci Allah mempunyai pelbagai sifat dan segala sifat-sifat ini menunjukkan bahawa Allah itu sempurna. 

Dalam situasi ini (fahaman LGBT), apabila kita melihat dari sudut yang lain, Allah menunjukkan kasih sayangNya dengan mengharamkan perkara ini dengan memberi rahmatNya melalui perkahwinan yang sempurna dan bertepatan dengan syara’ kerana bukankah ia akan mengembangkan generasi akan datang?

Firman Allah:

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.  (An-Nisaa' 4:1)

Dalam bahagian ‘tidak perlu minta maaf’ daripada artikel tersebut saya ada beberapa hujah yang saya ingin kemukan antaranya:

Manji mengatakan bahawa dibolehkan perkahwinan antara muslim dan non-muslim dengan tidak perlu menukarkan agama. Malah beliau menyeru anak muda untuk berbuat demikian. Tambah Manji lagi, ada seorang Imam bernama  Dr Khaleel Mohamed yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam perundangan Islam dari McGill University turut menyokong pendirianNya tersebut.

Hujah saya:

Saya juga mendokong pendapat Manji ini dengan mengkhususkan perkahwinan tanpa perlu menukar agama kerana di dalam Islam sendiri seseorang muslim itu dibolehkan berkahwin dengan perempuan ahli kitab (bukan musyrik dan muslim) meskipun dia tidak menukarkan agamanya. Berlainannya perkara ini bagi perempuan tidak dibenarkan atas sebab jika lelaki muslim dia akan menjadi ketua keluarga dan tidak dapat tidak si isteri perlu taat kepada suami dan jika perkara itu berlaku ke atas perempuan muslim yang berkahwin dengan lelaki ahli kitab maka ia akan menjadi bebanan. Perkara ini disebutkan oleh Allah dalam firmanNYA:

Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.  (Al-Maidah 5:5)

Perkara ini berlainan pula jika seorang lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin dengan pasangan mereka yang bukan islam yang musyrik berdasarkan firman Allah:

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. (Al-Baqarah:221)

Jadi berdasarkan hujah saya ini jika pendapat Manji itu adalah berkenaan dengan ahli kitab maka saya turut menerimanya. Berlainan pula jika Manji bermaksudkan perkara ini secara am (ahli kitab dan musyrik) maka saya sependapat dengan mereka yang menentang fahaman ini.

Dalam bahagian 'kerjasama pelampau-polis mengejutkan’ dalam artikel ini, suka saya kongsikan pendapat kritis dari rakan saya Ahmad Hidayat Hasni dalam artikel beliau dalam bahagian ‘Batas Kebebasan’ yang disiarkan di Malaysiakini pada hari ini bertarikh 23/5/2012.
http://www.malaysiakini.com/news/198777

~wallahua'lam~

Rujukan dan Sumber:

1. Qasas Al-Quran oleh Dr Muhammad Bayumi dalam bab Kisah Nabi Lut a.s
2. Aqidah Tahawiyah oleh Abu Jaa'far At-Tahawi dalam bab Pegangan Mu'tazilah
3. Pembelajaran Tentang Pecahan Kumpulan dalam Sejarah Islam Syiah dan Khawarij oleh Dr Ahmad Muhammad Jali dalam bab Syiah Zaidiyah
4. Qanun Ahwal Syakhsiyah Urduni oleh Dr Sulaiman Al-Asyqar dalam bab pernikahan dengan ahli kitab
5. Mushaf Al-Burhan
6. Akhbar Malaysiakini online bertarikh 22 dan 23 Mei 2012
     


Thursday, 19 April 2012

Hukum Jihad edisi 1


Soalan: Adakah hukum jihad wajib untuk semua umat Islam dalam konteks sekarang atau jihad hanya pada zaman dahulu sahaja?
Jihad ibarat atap dalam Islam
Jawapan:

Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang Jihad semuanya berbentuk Muhkamah (hukuman) dan tiada satu ayat  atau hadis pun yang dinasakhkan. Hal ini bermaksud hukum jihad terpakai sehingga Kiamat. Hairan apabila ada beberapa cendekiawan yang mengatakan Jihad ini sudah tidak sesuai di zaman sekarang dan hanya terpakai di zaman sebelum jatuhnya khilafah.

Semua jumhur ulamak daripada Ahli Sunnah wal Jamaah kecuali Abdullah Bin Al-Hassan, berpendapat bahawa Jihad di jalan Allah asalnya adalah fardu kifayah. Hal ini membawa maksud, seandainya sebahagian daripada masyarakat telah melaksanakannya maka  sebahagian yang lain terangkat dosa.

Dalam Tanwir Al-Absor dan disyarah pula dalam Ad-Dar Al-Mukhtar tentang hukum Jihad mengatakan hukumnya adalah fardhu kifayah pada permulaan dan walaupun kita tidak memulakan peperangan tersebut. Begitu juga apa yang disebut oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Minhaj dan disyarah dalam Mughni Al-Muhtaj mengatakan orang kafir ada dua keadaan, salah satunya apabila mereka yang tinggal di negara mereka dan mereka tiada niat untuk menguasai  negara-negara Islam, maka hukumnya fardhu kifayah terhadap orang Muslim untuk berjihad meninggikan kalimah Allah terhadap mereka.

Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menukilkan bahawa jihad merupakan salah satu daripada perkara yang fardhu kifayah sepertimana pendapat kebanyakkan ahli ilmu tetapi Ibnu Al-Musayyib mengatakan ia sebahagian daripada fardhu ain. Malah mazhab Az-Zohiri yang dipelopori oleh Ibnu Hazim berpendapat bahawa  jihad itu fardhu kifayah.

Antara dalil-dalil yang mengatakan hukum adalah fardhu kifayah:

1.  Allah SWT berfirman: (كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ) bermaksud: diwajibkan ke atas kamu untuk berperang (Al-Baqarah: 216). 
      Dr. Muhammad Khairul Haikal dalam kitabnya (Al-Jihad wa Al-Qital fi As-Siyasah Asyar’iah) mengatakan bahawa kalimah كتب membawa maksud Wajib, tetapi bukanlah jihad itu wajib ain dalam semua keadaan hanya dalam beberapa keadaan. Ibnu ‘Atiyah juga mengatakan Ijma’ ulamak  berpendapat hukum Jihad fardhu kifayah ke atas umat Muhammad SAW. 

b          bersambung....

Thursday, 8 March 2012

kerosakan pertama di atas dunia?


                                                     ~gambar hiasan~                                                        


Hasad          
    
Imam Ibnu Qayyim ada menyebutkan dalam tafsirnya dalam merungkaikan makna hasad iaitu merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.

Sejarah kerosakan pertama yang berlaku disebabkan hasad dalam kalangan manusia:

فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
                                                                                                                         (Al-Maidah:30)

Tafsiran:
Ulama menafsirkan ‘orang-orang yang rugi’ dalam ayat ini adalah termasuk orang yang berhasad dengki.

Kisah Habil dan Qabil

Ya… kisah ini sebenarnya telah lama disebutkan di dalam Al-Quran dan itulah kerosakan pertama sebenarnya di atas dunia ini hingga menyebabkan pembunuhan ahli keluarga. Kisah ini bermula apabila Allah mengurniakan kepada Adam dua pasang anak kembar dan kedua-duanya lelaki dan perempuan bagi setiap pasangan iaitu Habil serta pasangan kembarnya Damimah dan Qabil serta pasangan kembarnya Wadiah. Di izinkan Allah kembar Qabil iaitu Wadiah lebih cantik daripada Damimah kembar,Qabil.

Mulanya episod  Allah menguji ketaqwaan hambanya dengan memerintahkan untuk anak-anak nabi Adam berkahwin dengan syarat bukan dengan pasangan kembar masing-masing tetapi dengan pasangan yang berbeza. Qabil membantah apabila perintah Allah itu sampai ke telinganya melalui nabi Adam kerana pasangan kembarnya lebih cantik daripada pasangan kembar Habil. Mulalah bibit hasad dalam hati Qabil.

Seterusnya Allah memerintahkan keduanya untuk melakukan korban. Tetapi Allah menerima korban orang yang benar-benar bertaqwa disisinya iaitu Habil. Tanda-tanda diterima korban itu seperti yang disebutkan oleh Imam Ar-Razi dalam tafsirnya (Tafsir Kabir) adalah Allah menurunkan api daripada langit dan me’makan’ korban tersebut. Pandangan ini mendapat kesepatan ulama’ tafsir akan kesahihannya. Maka  membuak-buak lagi rasa hasad Qabil kepada Habil hingga dia membuat keputusan untuk menghapuskan riwayat Habil yang dirakamkan oleh Allah dalam ayat:

قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.                                                                  
                                                                                                                              (Al-Maidah:27)

Pengajaran:
Begitulah hakikatnya dalam amalan seharian. Setiap perkara kebaikan yang diterima oleh Allah adalah daripada hambanya yang benar-benar bertaqwa.

Pembahagian Hasad dari sudut pandang ulama’:

       1. merasa benci atau tidak berpuas hati dengan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada orang yang didengki dan berharap nikmat itu tidak berterusan.  
       2. Berharap seseorang tidak dapat memiliki nikmat berterusan tanpa merasa benci dan berharap orang lain berada dalam keadaan jahil tanpa dikurniakan nikmat.
       3. Ghibtoh atau merasa hasad kepada orang lain atas nikmat yang dikurniakan tanpa merasa dengki atau benci nikmat itu berterusan dan dikurniakan kepada orang lain.

Ulama’ menyebutkan bahawa pembahagian pertama dan kedua adalah dilarang. Tetapi pembahagain ketiga adalah digalakkan atas dasar untuk berlumba-lumba dengan syarat dalam melakukan kebaikan bukan kemungkaran. Allah menyebut di dalam Al-Quran:

وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ

dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
                                                                                                                                  (Al-Mutoffifin:26)

Dan juga seperti yang diriwayatkan dalam Sohih Bukhari:

عبدالله ابن مسعود قال,قال نبي صلى الله عليه وسلم. لا حسد إلا في اثنتين : رجل آتاه الله مالا, وسلطه على هلكته في الحق. ورجل آتاه الله الحكمة. فهو يقضي بها ويعلمها الناس.

Abdullah Ibnu mas’ud ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: tiada boleh berdengki kecuali dalam dua hal iaitu terhadap seorang yang Allah berikan harta lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.

Ulasan:

Sebagai contoh, peristiwa perang tabuk yang mana para sahabat tidak lokek serta tanpa lengah dan keberatan, menyedekahkan harta-harta mereka untuk jalan Allah. Saidina Usman membelanjakan suku hartanya. Saidina Umar, separuh. Manakala Saidina Abu Bakar, semua hartanya termasuklah sebatang jarum yang sudah patah disedekahkan. Dia hanya meninggalkan kepada dirinya dan anak isterinya Allah dan Rasul-Nya sahaja.
mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Sebab-sebab yang boleh menghalang perasaan dengki oleh orang lain:

        1.  Berharap Allah menjauhkan diri daripada perbuatan hasadnya
        2. Bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya
        3. Mengosongkan hati dan fikiran dari memikirkannya (bersangka baik)
        4. Menjauhi permusuhan dan bersabar jika dimusuhi
        5.  Mudah memaafkan orang lain
        6. Menerima ujian daripada Allah dan ikhlaskan hati
        7. Membalas keburukan orang lain dengan kebaikan

Secara keseluruhannya, perkara yang paling susah dilakukan oleh manusia adalah perkara yang terakhir. Tetapi sebenarnya itulah hakikat yang nyata yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w dalam dakwah baginda kepada ummat.

Cara-cara untuk merawat penyakit hasad itu daripada diri sendiri:

        1.  Mengetahui bahawa segala nikmat daripada Allah
        2. Mengetahui bahawa tidak membawa faedah perasaan ini kecuali lebih banyak keburukan dan sebab hilangnya kebaikan     
        3.  Mengetahui bahawa tidak menghalang nikmat yang Allah berikan kepada sesorang walaupun ada orang dengki dengannya.

Kesan-kesan buruk hasad dengki:

        1.Orang yang memiliki sifat hasad tidak dapat sempurna imannya, sebab ia tidak akan dapat mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.  
        2. Hasad mencegah pemiliknya daripada berbuat kebaikan dan manfaat.
        3. Hasad dapat memecahkan kesatuan, dan persaudaraan kaum muslimin.
        4.Hidupnya tidak pernah tenang dan tenteram. Orang yang hasad selalu dalam keadaan gundah gulana dan resah melihat orang lain lebih darinya.
        5. Menimbulkan sikap egois yang tinggi dan tidak menyukai kebaikan orang lain.


Akhir sekali marilah sama-sama kita mohon kepada Allah agar dijauhi daripada sifat hasad ini dengan doa yang nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita:

ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا ربنا إنك رءوف رحيم  

Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan jangan engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki dan dendam kepada orang yang beriman. Wahai tuhan kami sungguhnya Engkau maha Pengasihi lagi maha Penyayang.

Rujukan : Qasas Al-Quran Pengajaran dan Ibrah kepada Pendakwah dalam berdakwah oleh Muhammad Bayumi.

Thursday, 16 February 2012

semalam, hari ini, & esok.


semalam, 
sebuah projek dilakasana,
sebidang tanah dibuka,
untuk projek besar gamaknya,
menelan belanja; 
jutaan ringgit banyaknya,
anak-anak pokok dibawa,
dari setiap pelusuk dunia,
dengan pelbagai jenis baja,
bermacam-macam warna,
antaranya perang dan jingga,
khabarnya,
projek ini menjadi rangka,
dalam mencipta generasi mulia.




hari ini,
pokok-pokok ini,
masih dijaga rapi,
bagai anak sendiri,
moga ikhtiar ini,
tidak menjadi mimpi,
juga anganan yang tak pasti,
baja dan air yang sama;
masih disirami,
penjaganya tersenyum rapi,
berdoa agar pokok-pokok ini,
kelak mampu berbakti,
kepada jiwa yang akan berdiri,
sebagai pengganti sejati.




hari esok,
apa pula khabar si pokok?
yang berdiri di bumi bertuah,
memberi teduh daripada berpeluh,
sudah sedia berbuah?
pabila ranumnya menjadi merah,
membantu yang susah,
juga tidak kalah,
membantu yang lemah,
penjaganya sering mengadu;
kepada pencipta hikmah,
menghilangkan resah gelisah,
agar hasilnya tidak bernanah,
mengandungi nafsu serakah,
dimata masyarakat menjadi sampah,
semoga khabar dan rupa sama indah,
sehingga jasad dikandung tanah,
insya allah.


hilmi,
8.15 pagi,
15/2/2011.

Wednesday, 28 December 2011

Hakikat dan Kepentingan Zuhud


Hakikat Zuhud dan Kelebihannya

HADIS 31

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ



Ertinya : " Daripada Abu al-Abbas Sahl bin Sa'ad as-Saa'idi r.a,beliau berkata,"telah datang seorang lelaki kepada rasulullah saw lalu berkata :"wahai rasulullah,tunjukkan  kepadaku satu amalan apabila aku melakukannya,maka Allah swt dan manusia akan kasih(cinta) kepadaku".Rasulullah saw bersabda,"Zuhudlah terhadap dunia nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah swt dan zuhudlah terhadap apa yang dimiliki oleh manusia,nescaya kamu akan dicintai oleh manusia". (hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan yang lain dengan sanad yang hasan)

  Hadis ini menunjukkan kepada kita tentang dua perkara yang penting,yang mana apabila kita mengamalkannya kita akan dikasihi oleh Allah swt dan manusia lain.Ini merupakan salah satu wasiat yang ditinggalkan kepada umatnya dan hadis ini merupakan salah satu "جوامع الكلم" (himpunan kata-kata) rasulullah saw."جوامع الكلم" bermaksud lafaz yang ringkas tetapi mengandungi makna yang luas.Bertepatan dengan hadis nabi saw " aku dikurniakan oleh Allah swt جوامع الكلم ".

  Bila kita bercakap tentang zuhud??maka banyaklah ta'rifan atau definisi yang dikeluarkan.Antaranya,zuhud bermaksud " hidup dalam keadaan yang sederhana",antaranya lagi "pakai pakain yang buruk dan tidak menggunakan alat-alat komunikasi yang canggih",berikut adalah antara ta'rifan yang biasa kita dengar tentang zuhud.

  Ulama'-ulama' berbeza pendapat dalam menerangkan makna zuhud.Antara yang masyhur ialah definisi yang diberikan oleh imam Ahmad daripada Abu Idris Al-Khaulani ra telah berkata " zuhud bukan bermaksud kita mengharamkan apa yg dihalalkan(diharuskan) dan zuhud juga bukan bermaksud tidak bermewah dengan harta yang kita miliki tetapi zuhud adalah kita menganggap apa yang ada di tangan(ilmu) Allah swt samaada tersurat dan tersirat lebih dipercayai dari apa yang ada di tangan kita(pengetahuan),contohnya jika kita ditimpa dengan musibah maka kita cepat-cepat kembali kepada Allah".Atau dengan makna yang lain "zuhud bermaksud kita meletakkan segala perkara yang berkaitan dengan dunia di tangan kita bukan di hati".Oleh sebab itu,terdapat sebahagian ulama' mengatakan bahawa zuhud berkaitan dengan hati bukan dengan anggota.Antaranya Abu Sulaiman Ad-Darani berkata," tidak akan dilihat oleh sesiapa akan zuhud itu kerana sesungguhnya zuhud itu di hati".

  Antara perkara-perkara yang boleh menjadikan diri seseorang itu seorang yang zuhud ialah :

1) Sentiasa ingat akan hari kebangkitan ( kiamat )
2) Hati hendaklah sibuk dengan Allah swt bukan sibuk dengan perkara-perkara dunia
3) Merasakan bahawa dunia ini hina
4) Kita merasakan diri kita ini hina dalam kalangan manusia

  Persoalannya bagaimana untuk kita mendapat kasih sayang Allah dan munusia lain?????

1) Kasih sayang Allah : Kita melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya kerana Allah swt kasih kepada sesiapa yang taat kepadaNya.Janganlah sesekali kita mensyirikkan Allah swt dengan sesuatu yang lain.Contohnya hati kita terikat dengan  Allah swt tetapi dalam masa yang sama hati kita terikat juga dengan dunia.Ini termasuk dalam perkara yang syirik.Kerana hati merupakan " بيت الرب " ( rumah tuhan ) dan Allah swt tidak suka kasih sayang kepadaNYa disertakan dengan kasih sayang yang lain selain daripadaNya.Maka zuhudlah di dunia nescaya kita akan dikasihani oleh Allah swt.

2) Kasih sayang manusia : Kebiasaannya manusia ini tidak suka kepada orang yang suka menunjuk-nunjuk.Oleh itu,untuk kita menawan hati manusia lain,tidak dapat tidak kita hendaklah mempunyai sifat rendah diri dalam diri kita supaya kita dikasihi oleh orang lain.Dengan cara ini,manusia akan kasih kepada kita dan sayang kepada kita.Selain itu,kita tidak boleh menunjukkan-nunjuk di hadapan orang tentang apa yang kita miliki,tetapi kita hendaklah bersikap dengan sederhana walaupun kita dikurniakan kelebihan yang lebih berbanding orang lain.Berikut adalah maksud " zuhudlah terhadap apa yang dimiliki".

  Kesimpulannya,setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt hendaklah mempunyai sifat zuhud dalam diri mereka.Lebih-lebih lagi,para da'ie kerana masa mereka lebih banyak dengan manusia.Sukar bagi seorang da'ie itu jika tidak mempunyai sifat zuhud dalam diri mereka untuk mereka keluar berdakwah kepada orang ramai.INGATLAH bahawasanya dunia ini hanyalah sementara janganlah sesekali hati kita terikat dengan dunia.Kerana ini adalah penyakit berbahaya sebagaimana disebut oleh rasulullah saw iaitu       " sukakan dunia dan bencikan kematian".


Rujukan : kitab Al-Wafi pada syarah hadis ar-bain nawawiyyah
Penulis  : Dr.Mustafa Al-Bugha dan Syeikh Muhyiddin Mistu




Tuesday, 20 December 2011

sifat yang Allah cinta, manusia suka?




ZUHUD

Menjadikan dunia ini hanyalah berada pada tangannya bukan pada hatinya yang membawa maksud beramal menuju akhirat yang menjadi tujuan utama tanpa meninggalkan urusan keduniaan dan berupaya untuk meninggalkannnya jika bertentangan dengan ketaatan kepada Allah.

 Pengertian zuhud mengikut pandangan ulama’:

1.     Hassan Al-Basri: “ jika kita melihat seseorang dan berkata; Dia lebih baik daripada aku”
2.     AzZahri: “tidaklah dia meninggalkan yang haram itu kecuali kerana kesabarannya,dan tidaklah membuat kebaikan kecuali dengan rasa syukur.
3.     Sufyan bin “Uyainah: “jika diberi kenikmatan dia bersyukur, jika diuji dia bersabar”



Antara maksud zuhud yg terdapat dalam:

1.      Al-Qur'an

{ زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ{
(آل عمران:14)

“Telah diperhiaskan manusia cinta kepada perkara perkara yang diingini iaitu perempuan perempuan, anak-anak, emas dan perak yang berpikul pikul, kuda yang baik, binatang-binatang temakan dan sawah ladang, yang demikian itu perhiasan hidup di dunia sedangkan dirinya di sisi Allah tempat kembali yang baik.” Ali-Imran:14

Tafsir ayat:

Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di dunia ini akan pergi dan tidak akan kekal, dan tempat kembali kepada Allah adalah sebaik-baik tempat yang mana tidak fana’ iaitu syurga jika sesiapa yg meninggalkan perkara di atas. Dan didalamnya terdapat orang-orang zuhud di dunia dan bersenang- lenang di akhirat.

2.     As-sunnah

Rasulullah s.a.w. bersabda berkenaan  zuhud:

عن أبي العبّاس سهل بن سعد السّاعديّ رضي اللّه عنه قال: جاء رجل إلى النبيّ ﷺ فقال: يا رسول الله, دلّني على عمل إذا عملته أحبّني الله وأحبّني النّاس. فقال: ازهد في الدّنيا يحبّك الله, ازهد فيما عند النّاس يحبّك النّاس. 

"حديث حسن رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنة"

Terdapat dua wasiat yang amat berharga daripada nabi S.A.W daripada hadis ini:

1.     Zuhud didunia menjadi sebab untuk pemberian kasih sayang Allah kepada hambanya.
2.     Zuhud dalam kalangan manusia menjadi sebab untuk mendapatkan kasih sayang dan penghormatan manusia

* Apabila ALlah menghendaki seseorang itu baik maka dijadikan hidupnya di dunia dengan sifat zuhud dan mengemarkannya kepada akhirat dan mempcrlihatkan kekurangan dirinya. Zuhud ini juga merupakan sifat lawan bagi sifat Al-wahan (cintakan dunia dan takut mati)

Asas Zuhud dan Kepentingannya

Asas zuhud itu bermula dari dalam hati dan ingatan yang patuh kepada akhirat, kemudian timbul kecintaan berhubung dengan ALlah s.w.t. Ingatan hati secara penuh kepada akhirat tidak boleh berlaku kecuali bila seseorang itu hilang ingatan hati kepada keduniaan dan kecenderungan hawa nafsu. Orang yang bertaubat dari dosa sedangkan dia tidak merasa kemanisan taat maka dirinya tidak terjamin aman dari mengulangi perkara yang sama telah dilakukan dan orang yang meninggalkan perkara dunia sedangkan dia tidak merasa kemanisan zuhud maka dia akan kembali pula kepada keduniaan. Sifat ini juga meberi kesan dalam seluruh kehidupan muslim dengan mengambil dunia sekadar keperluan dan mengorbankan selebihnya pada jalan Allah.


Tanda-tanda Zuhud

3 petanda yang digariskan oleh Imam Ghazali iaitu:

1.     Tidak merasa gembira yang berlebihan dengan apa yang dicapai dan tidak merasa dukacita dengan apa yang hilang, tetapi gembira disebabkan diberi nikmat atau tanda syukur. Contoh: zuhud pada harta
2.     Sikap yang sama ketika dipuji atau dikeji. Contohnya: zuhud pada kedudukan dan pangkat.
3.     Sentiasa mendampingi diri dengan Allah kerana hati sering mengingatiNya dan kecintaan kepada Allah melebihi kecintaannya kepada yang lain tanpa meninggalkannya.


Tingkatan-tingkatan Zuhud:

1.     zuhud paling rendah: ialah zuhud daripada perkara-perkara keduniaan yang berlebihan, dan berusaha mengikis sifat kecintaan kepada dunia kerana masih tersisa di dalam hati.
2.     zuhud pertengahan: ialah meninggalkan perkara-perkara keduniaan yang berlebihan kerana ketaatan kepada Allah bagi  mengelakkan diri terhina atas perbuatan itu dan berharap ganjaran yang lebih daripada Allah di atas ketaatannya.
3.     zuhud yang paling tinggi: ialah zuhud yangg hanya bermatlamatkan Allah semata-mata.  Baginya perkara dunia itu tidaklah kecuali keseronokan sementara berbanding nikmat akhirat yang kekal selamanya. Juga tidak terkesan kepadanya dirinya jika dia tidak memperoleh kebahagian dunia melainkan kesejahteraan di akhirat.

Pembahagian ZUHUD

Gabungan pendapat Imam Ahmad, Ibnu Mubarak, dan Ibrahim bin Adham:

1.     Fardu (wajib): Zuhud daripada perkara yang haram dan juga membawa kepada syirik kepada Allah
2.     Afdhol (lebih baik):  zuhud dalam perkara yang halal dan ikhlas dalam beramal kepada Allah tanpa bertujuan keduniaan serta melakukan perkara yang sesuai mengikut syara’ disamping meninggalkanya jika bertentangan
3.     Selamat: zuhud daripada perkara yang syubhah(ragu-ragu)  


Sirah para sahabat mengenai sifat zuhud

Khalid Al-walid seorang panglima tentera yang tekenal dengan kehebatannya bertempur dan menyusun strategi peperangan di zaman awal generasi islam. Bagaimanapun setelah tampuk kuasa khalifah bertukar ke tangan Saidina Umar, beliau menerima surat daripada Khalifah tentang peralihan kuasa yang menyebabkan beliau menyerahkan kedudukan beliau kepada Abu Ubaidah al-Jarrah daripada panglima tentera kepada askar biasa.  Beliau tidak mengeluh sedikitpun atau kecewa bahkan beliau berkata: “aku saling berbunuhan bukan disebabkan Umar tetapi Tuhan Umar”.

Jelas menunjukkan kepada kita di sini bahawa Khalid mempunyai sifat zuhud dengan tidak menjadikan pangkat keduniaan itu sebagai tujuan utama beliau bahkan sanggup meninggalkannya walaupun sebelumnya beliau merupakan seorang panglima tentera yang hebat.

      Rujukan:



1.        حدبث 31 من الوافي في شرح الأربعين النّووية تأليف د. مسطفى ديب البغا و د.محيي الدين مستو
2.        تفسير سورة آل عمران:14 من تفسير حدائق الرّوح  والرّيحان تأليف محمد الأمين بن عبد الله الهريري الشّافعي
3.        كتاب الفقر والزهد من إحياء علوم الدين لحجّة الإمام الغزالي
4.        كتاب فقه السيرة النّبوية مع موجز التاريخ الخلافة الراشدة تأليف د.محمد سعيد الرمضان البوطي





Saturday, 17 December 2011

Ikhlaskan Niat

"Kok..kok..2x", ayam mengeluarkan suranya dari peti suara, "Allahuakbar....allahuakbar....", azan pertama subuh berkumandang, memecah kesunyian pagi buta. Aaaaaa terasa berat, terasa susah untuk bangun dari tidur. Seolah kain selimut seberat gunung. Antara pilihan memilh Allah SWT atau Syaitan lalu kita berusaha memilih Allah SWT agar terbukti kecintaan kita padaNya. Kita terjaga pada pagi hari dengan peluang kehidupan setelah dimatikan pada malamnya lalu berzikir pada mulut
"أصبحنا وأصبح الملك لله والحمد الله لا شريك له لا إله لا هو و إليه النشور"  

Permulaan hari  ini kita niatkan kerana Allah SWT agar hari yang kita lalui penuh bersinar dengan ketaatan dan kepatuhan kepadaNya.
……………………………………………………………………………………………………………







Ikhlas tempatnya di hati :) Picture by nhuthanh.deviantart.com


Saya mengajak diri saya yang lemah ini dan para pembaca yang dikasihi Allah untuk ikhlaskan segala perbuatan yang dilakukan hanya kerana Allah SWT, baik belajar, bersukan, berkerja, membaca blog atau sebagainya hanya bermatlamatkan redha Allah.

Penting ke untuk ikhlas? Perlu ke untuk niat kerana Allah?

Pertama: Secara Nass

Allah berfirman:
وما خلقت الجن والإنس الا ليعبدون 
“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk berubudiah” 

Berdasarkan ayat ini, kita menyedari  hakikat bahawa diri kita adalah hamba Allah dan diciptakan hanya untuk berubudiah padaNya, maka sewajibnya untuk kita tunduk dan patuh pada penciptaNya. Kita menjadikan seluruh program kehidupan kita adalah ibadat kepada Allah semata-mata. Ironinya, niat merupakan satu perkara terpenting dalam memastikan kita tidak terpesong dari landasan selaras dengan matlamat penciptaan Jin dan Manusia.

Kedua: Secara Akal

Saya timbulkan satu persoalan. Seseorang yang ingin berpuasa tetapi tidak berniat di pagi hari atau malam sebelum  akan mendapati siang hari yang dilalui penuh keletihan, kepenatan dan badan menjadi lesu. Manakala apabila seseorang berniat  untuk berpuasa akan mendapati badannya penuh kesegaran dan bertenaga.

Kerana apa? Badan apabila dipersiapkan untuk melakukan sesuatu perkara maka ia mampu melakukannya. Secara mudahnya kita boleh mengistilahkan sebagai mind setting atau heart setting.  Maka Allah tempat selayaknya untuk kita mengharap agar perbuatan kita diterimaNya. Allah yang beri kita badan yang sihat, anugerahkan kita masa remaja, perasaan yang pelbagai, makanan dan minuman dan segala nikmat, maka tanyalah hati kita kenapa bukan Allah SWT yang bertahta pada hati kita.

Para ulamak meletak dua syarat dalam memastikan perkara yang kita lakukan menjadi Ibadah:
1.    Ikhlas Lillah
2.    Muwafiqah Syara’

Ayoh kita niatkan segala perbuatan kita kerana Allah agar kehidupan kita akan menjadi lebih bermakna. Perlu difahami niat yang menentukan pengakhiran sesuatu perbuatan kita. Suka untuk saya kongsikan beberapa hadis tentang peranan niat bagi seorang muslim agar sedikit sebanyak memberi rangsangan pada hati kita:

    عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله يقول: ( إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله  فهجرته إلى الله ورسولهومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هجر إليه) متفق عليه

Maksudnya: Dari Amiril Mukminin Abu Hafsh Umar bin Khathab  ra., ia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amal disertai dengan niat. Setiap amal seseorang bergantung dengan apa yang diniatkannya. Maka, siapa saja yang hijrahnya (dari Mekkah ke Madinah) karena Allah dan Rasul-Nya. (mekakukam hijrah demi mengagungkan dan melaksanakan perintah Allah dan utusan-Nya), maka hijrahnya tertuju kepada Allah dan Rasul-Nya (diterima dan diridhai Allah). Tetapi siapa saja yang melakukan hijrah demi kepentingan dunia yang akan diperolehnya, atau karena perempuan yang akan dinikahinya, maka hijrahnya terbatas kepada sesuatu yang menjadi tujuannya (tidak diterima oleh Allah).” (HR. Bukhari dan Muslim)

    عن عائشة رضي الله عنها قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لا هجرة بعد الفتح ولكن جهاد ونية وإذا استنفرتم فانفروا) متفق عليه

Maksudnya: Dari Aisyah ra. Ia berkata: Nabi SAW bersabda: “Tidak ada hijrah lagi setelah dibukanya kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad (berjuang di jalan Allah) dan niat untuk selalu berbuat baik. Oleh karena itu, jika kalian dipanggil untuk berjuang, maka berangkatlah!” (HR. Bukhari dan Muslim)

   وعن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال: سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الرجل يقاتل شجاعة, ويقاتل حمية ويقاتل رياء, اي ذلك في سبيل الله؟  فقال صلى الله عليه وسلم: (من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل الله) متفق عليه
Bermaksud; Dari Abu Musa  Al-Asy’ariy ra., telah berkata: “Rasulullah SAW pernah ditanya, yang manakah termasuk berperang di jalan Allah? Apakah berperang karena keberanian, kesukuan, ataukah berperang karena ria’? Rasulullah SAW menjawab: “Siapa saja yang berperang agar kalimat Allah di tempat mulia, maka itulah perang di jalan Allah.”(HR. Bukhari dan Muslim)

    عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( إن الله تعالى لا ينظر إلى أجسامكم ولا إلى صواركم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم) رواه مسلم
Maksudnya: Dari Abu Hurairah  ra., ia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kalian dan tidak pula kepada rupa kalian, tetapi Dia memandang kepada hati kalian.” (HR. Muslim)

Konklusinya, hati memainkan peranan yang penting dalam melakukan niat agar perbuatan yang dilakukan dikira sebagai amalan soleh supaya kita pulang berjumpa Allah SWT dengan hati yang sejahtera.
Allahua’lam.

----------------------------
ٌRujukan:
1. Al-Quran
(Surah Adzariyat:56)
2. Bab Niat Ikhlas, Riyadus Solihin oleh Imam Nawawi  
3. Al-Mathurat oleh Imam Hassan Al-Banna .